Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil
MANAMA (BAHRAIN), 20 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa memainkan peranan besar kepada pengukuhan kerjasama Malaysia dan Bahrain.
Beliau berkata ia sekali gus membawa kemakmuran lebih besar kepada rakyat.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada Baginda (Raja Bahrain) atas layanan yang cukup baik oleh Kerajaan Bahrain kepada delegasi Malaysia sepanjang lawatan rasmi ini.
“Sesi menghadap ini menjadi wadah untuk terus memperteguh hubungan akrab antara kedua-dua negara menerusi pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama khususnya pelaburan dan perdagangan,” katanya dalam kenyataan kepada media Malaysia, di sini.
Terdahulu, Anwar menerima jemputan menghadap Raja Hamad di Istana Sakhir dan meluangkan masa kira-kira sejam di istana berkenaan yang menjadi lokasi acara diraja di bahagian selatan negara itu, sebagai mengakhiri lawatan rasmi beliau, hari ini.
Anwar tiba di Bahrain awal pagi semalam untuk lawatan rasmi ke negara Teluk tersebut atas jemputan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa.
Ini merupakan lawatan pertama Anwar sebagai Perdana Menteri ke negara Asia Barat berkenaan dan beliau dijangka berlepas pulang ke ibu negara 5 petang waktu tempatan, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata visi dan kebijaksanaan Raja Bahrain dalam memimpin pertumbuhan negara berkenaan menjadi inspirasi buat beliau untuk terus bekerja keras memacu Malaysia ke arah kebaikan dari segenap aspek.
“Semoga Allah SWT memberkati Raja Hamad serta seluruh rakyat Bahrain dan mudah-mudahan hubungan kedua-dua negara akan terus dipertingkat, insya-Allah,” katanya.
Malaysia dan Bahrain mempunyai sejarah hubungan diplomatik yang panjang dan menyambut ulang tahun ke-50, pada November tahun lepas.
Sebanyak 297 rakyat Malaysia tinggal di Bahrain, termasuk tiga pelajar sedang melanjutkan pengajian tinggi di negara itu yang terkenal sebagai antara negara dengan nilai mata wang tinggi di dunia.
Semalam, Anwar turut diberi majlis sambutan rasmi sebelum mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota di Istana Gudaibiya di sini, dan membincangkan pengukuhan kerjasama antaranya dalam bidang pelaburan dan perdagangan, kewangan dan perbankan Islam, semikonduktor serta sektor pelancongan.
Terdahulu pagi tadi, Perdana Menteri turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb yang juga Pengerusi Majlis Hukama' Muslimin dan membincangkan antara lain soal penubuhan secara rasmi Majlis Hukama' Muslimin di Malaysia.
Pada sesi pertemuan itu, beliau turut memperkenalkan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif sebagai wakil Malaysia yang baharu di dalam Majlis Hukama' Muslimin.
Selain itu, Anwar berkata pertemuan berkenaan turut memberi fokus kepada memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Institut Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Al-Azhar Al-Sharif, selain penawaran biasiswa buat pelajar Malaysia menyambung pelajaran di institusi tersebut seperti dipersetujui semasa pertemuan di Kaherah, pada November lepas.
-- BERNAMA