LABUAN, 21 Feb (Bernama) -- Seorang jurutera kanan direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bernilai RM100,000.
Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad membenarkan perintah reman itu yang berkuat kuasa hari ini hingga 23 Feb.
Penjawat awam berumur 42 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan selepas disoal siasat di pejabat agensi berkenaan pada 4.38 petang semalam.
Individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana didakwa menerima rasuah RM100,000 daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai pertukaran untuk memudahkan pembayaran berkaitan projek di Kolej Vokasional Labuan antara 2021 hingga 2022.
-- BERNAMA