ALOR SETAR, 21 Feb (Bernama) -- Angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 29 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak perempuan di daerah Kubang Pasu semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan tangkapan dilakukan pada 6.15 petang semalam di sekitar Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
"Pasukan operasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan dan menahan sekumpulan orang awam yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 29 orang awam itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan pendatang asing tanpa izin warga Myanmar. 15 lelaki, 13 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berumur antara enam hingga 41 tahun berjaya ditahan,” menurut kenyataan itu.
2 Divisyen memaklumkan sejumlah wang tunai, 19 telefon bimbit, sebuah komputer riba dan barang perhiasan diri yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM19,800 turut dirampas.
“Kesemua mereka telah diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA