KEPALA BATAS, 21 Feb (Bernama) -- Jenazah kanak-kanak yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula jenis gummy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai, Penaga di sini kira-kira pukul 3.20 petang tadi.
Lebih 150 jemaah menunaikan solat jenazah buat Allahyarham Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, di Masjid Jamek Permatang Binjai pada 2.45 petang dan rakan-rakan Allahyarham mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Hujan renyai-renyai menambah suasana pilu di kawasan tanah perkuburan yang diselubungi cuaca mendung dengan ahli keluarga, guru dan penduduk kampung turut mengiringi perjalanan akhir anak sulung daripada dua beradik itu.
Terdahulu, van yang membawa jenazah dari Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), tiba di rumah nenek sebelah bapanya, Siti Amin Ismail, 61, di Permatang Binjai pada 2.20 petang.
Proses bedah siasat jenazah Mohammad Fahmi Hafiz yang bermula pada 9 pagi tadi di Jabatan Perubatan Forensik HPP, selesai sepenuhnya pukul 12 tengah hari sebelum dimandikan dan dikafankan di situ.
Sementara itu, bapa kepada Allahyarham, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, mendakwa anaknya tidak pernah membeli atau memakan gula-gula terbabit sebelum ini, namun mereka sekeluarga tidak mahu menyalahkan sesiapa termasuk penjual makanan ringan itu dan menerima takdir kematian anaknya.
"Selalunya, dia (arwah) tidak pernah beli atau makan gula-gula macam itu … mungkin dia ikut kawan-kawan membeli gula-gula itu, tetapi saya tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal ini.
"Saya juga tidak salahkan makanan itu, kami anggap ia sebagai dugaan dan takdir, saya harap apa yang berlaku kepada arwah akan jadi pengajaran kepada semua, terutama ibu bapa agar memberi lebih perhatian terhadap barangan atau makanan yang dibeli untuk anak-anak," katanya selepas pengebumian anaknya.
Mohammad Fahmi Hafiz yang kritikal selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy Selasa lepas, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) HPP kira-kira 11 malam tadi.
Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.
-- BERNAMA