AM

Jabatan Kesihatan Melaka Tingkat Pemantauan, Saringan Langkah Awal Kekang Kusta

21/02/2025 10:40 PM

MELAKA, 21 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Melaka meningkatkan pemantauan dan saringan penyakit kusta dalam kalangan penduduk Kampung Orang Asli Bukit Putus, Selandar di sini sebagai langkah awal mengekang penularan wabak itu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata ini ekoran perkampungan berkenaan terletak di sempadan Negeri Sembilan yang telah merekodkan penularan wabak kusta di dua perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah.

"Langkah awal akan segera diambil sekiranya ada yang dijangkiti, bagaimanapun setakat ini tiada kes dikesan dalam kalangan penduduk Orang Asli di negeri ini melibatkan 14 perkampungan dengan lebih 2,000 penduduk," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ngwe berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri juga sering memberi pendedahan  kepentingan menjaga kebersihan diri kepada masyarakat itu di Melaka.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan Orang Asli di Negeri Sembilan meninggal dunia akibat wabak kusta pada Isnin, manakala lapan lagi individu sedang dirawat.

Susulan itu, dua perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah iaitu Kampung Chergun dan Guntur dikuarantin serta-merta dan kes tersebut mula dikesan pada 2 Jan lepas membabitkan sembilan penduduk di dua perkampungan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395148