AM

Lebih 19,000 KIR Terima Manfaat Kad Perak Sejahtera - MB

22/02/2025 02:41 PM

IPOH, 22 Feb (Bernama) -- Seramai 19,012 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima bantuan Kad Perak Sejahtera (KPS) setakat ini, dalam usaha kerajaan negeri membantu golongan berpendapatan rendah, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata penyaluran bantuan yang diperkenalkan sejak 2019 itu bertujuan memastikan golongan B40, miskin dan miskin tegar dapat memenuhi keperluan asas makanan.

“KPS ini boleh digunakan di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar, dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun atau RM100 sebulan bagi setiap penerima.

“Sebanyak 1,002 permohonan baharu telah diterima dan 915 permohonan telah diluluskan, dengan jumlah tertinggi diterima dari Daerah Kinta membabitkan 430 permohonan,” katanya selepas pelancaran Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Penerima Program KPS di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini.

Saarani berkata kerajaan negeri menyasarkan 20,000 penerima akan menerima bantuan tersebut dan agenda membantu rakyat akan menjadi perkara yang sentiasa diberikan tumpuan serius oleh kerajaan negeri.

“Daerah Kinta mempunyai permohonan yang tinggi, kerana daerah itu ada lima kawasan Parlimen dan mempunyai peratusan penduduk yang ramai, agendanya kita nak bantu rakyat.

“Kita komited untuk memastikan program ini terus memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan akan diteruskan sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395251