SEREMBAN, 22 Feb (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan akan memperketat kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran beberapa mesyuarat sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang turut dijadualkan berlangsung di negeri ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya akan menambah 20 hingga 30 peratus jumlah anggota di daerah yang terlibat setiap kali acara berkaitan diadakan.
“Kami bersedia dan akan memberi kerjasama sebaik mungkin bagi menjamin keselamatan sepanjang mesyuarat, dari segi kawalan memang akan dipertingkatkan supaya tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini.
“Saya dimaklumkan Port Dickson antara lokasi untuk (beberapa) mesyuarat ASEAN, keanggotaan akan diambil dari daerah berdekatan untuk menampung penugasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Cakna Komuniti Polis Kontinjen Negeri Sembilan sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan" yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir turut menyeru masyarakat untuk sentiasa bekerjasama dengan polis dan melaporkan kejadian jenayah terutama di kawasan kejiranan atau komuniti setempat untuk membolehkan tindakan lanjut.
-- BERNAMA