KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri ke-sembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerana disyaki terlibat rasuah.
Sumber rapat SPRM memaklumkan perintah reman terhadap empat individu itu dikeluarkan di Mahkamah Putrajaya oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin pada Jumaat lepas.
“Reman lima hari bermula Jumaat untuk tiga individu, manakala seorang lagi direman selama tiga hari dan dilepaskan hari ini,” menurutnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16a Akta SPRM.
"Kami memohon agar pihak SPRM diberikan ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi," katanya.
-- BERNAMA