AM

Kadar Zakat Fitrah Di Terengganu Ditetapkan RM10, RM21

23/02/2025 03:42 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan dua kadar zakat fitrah untuk tahun ini iaitu tidak kurang daripada RM10 dan RM21.

Yang Dipertuanya Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata penetapan itu berdasarkan harga beras  yang dimakan penduduk di negeri ini.

Beliau berkata seramai 998 amil seluruh negeri dilantik bagi memudahkan urusan pembayaran yang bertempat di masjid, pusat beli-belah dan kawasan tumpuan ramai.

“Kadar zakat fitrah bagi 1446H/2025M dikeluarkan dengan wang tunai sahaja ditetapkan pada dua kadar iaitu tidak kurang bagi RM10 setiap orang.

“Bagi mana-mana orang yang memakan beras jenis Basmathi atau yang setara, rujukan kadar zakat fitrah ialah RM21 bagi setiap orang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Agihan Zakat Asnaf Fakir Miskin Sempena Ramadan Tahun 1446H/2025M, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Shaikh Harun berkata sebanyak RM275.96 juta wang zakat berjaya dikutip sepanjang tahun lepas, meningkat 8.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata jumlah tertinggi disumbangkan oleh zakat pendapatan iaitu sebanyak RM146.15 juta diikuti zakat perniagaan (RM64.14 juta) dan zakat wang simpanan (RM40.06 juta).

“Sumber lain termasuk zakat fitrah, zakat harta, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat emas dan zakat perak serta zakat galian.

“Maidam juga telah mengagihkan sebanyak RM318.69 juta wang zakat tahun lepas. Jumlah agihan adalah melebihi kutipan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395495