EKONOMI

Misi Pelaburan Pulau Pinang Ke Jepun Tingkatkan Perdagangan Dan Kerjasama Teknologi

23/02/2025 03:45 PM

GEORGE TOWN, 23 Feb (Bernama) -- Misi promosi pelaburan Pulau Pinang ke Jepun selama enam hari telah meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan selain mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab utama industri berteknologi tinggi.

Diketuai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan delegasi dari InvestPenang, misi yang berlangsung dari 16 hingga 22 Februari itu menyaksikan perbincangan yang berjaya dengan 15 syarikat Jepun untuk menjalin kerjasama dan pelaburan pada masa depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada beberapa topik penting untuk pertumbuhan industri Pulau Pinang, termasuk memajukan projek infrastruktur seperti pengangkutan dan utiliti bagi memenuhi permintaan perniagaan yang berkembang.

“Pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada menangani anjakan rantaian bekalan global dan peningkatan kecerdasan buatan (AI), yang memacu permintaan lebih tinggi untuk peralatan buatan Jepun dan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Dalam tempoh tiga hari pertama, Chow dan delegasi melawat pelabur sedia ada dan berpotensi di Tokyo dan Kyoto, iaitu Toray, Advantest, Pentax Medical, Renesas, Kobelco, Panac, Japan Lifeline, Canon Electronics, Iwata, Towa, Kyocera dan muRata.

Delegasi kemudiannya ke Kumamoto pada dua hari terakhir misi tersebut apabila mereka melawat Meistier Corp, Preceed Corp. dan Hirata Corp.

InvestPenang turut mengambil bahagian sebagai peserta pameran di Kumamoto Industrial Revitalisation Expo pada 20 hingga 21 Februari, memaparkan peluang pelaburan di Pulau Pinang serta mempamerkan tawaran di negeri itu, inisiatif strategik dan landskap industri yang berkembang pesat sebagai destinasi pelaburan utama.

Chow dan delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Wilayah Kumamoto Takashi Kimura, menurut kenyataan itu.

Dalam pertemuan itu, Chow dan Kimura bertukar-tukar pandangan mengenai industri semikonduktor dan meninjau potensi peluang kerjasama untuk meningkatkan daya tahan industri dan pertumbuhan jangka panjang kedua-dua wilayah.

“Misi promosi pelaburan ke Jepun ini mengekalkan komitmen Pulau Pinang untuk menggalakkan hubungan ekonomi yang kukuh dengan pelabur Jepun selain menempatkan negeri itu sebagai hab utama industri teknologi tinggi,” katanya.

Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon di Timur, telah menarik pelaburan berjumlah RM31.38 bilion pada 2024.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395501