AM

Bernama Bakal Perluas Kursus AI Kepada Petugas Belakang Tabir, Media Sabah, Sarawak

24/02/2025 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merancang untuk memperluaskan penganjuran kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI), bukan sahaja kepada wartawan dan editor, tetapi meliputi petugas belakang tabir dalam industri kewartawanan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata langkah tersebut sejajar dengan hasrat agensi berita itu untuk memastikan kursus AI yang dikendalikan, dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan tertumpu kepada mereka yang memerlukan.

“Sebenarnya kita telah merancang beberapa kursus lain termasuklah untuk mereka yang di balik tabir, bukan sekadar untuk wartawan dan jurufoto, tetapi juga merangkumi mereka yang bertugas dalam bidang kewartawanan.

“Insya-Allah kita akan turut membawa kursus-kursus seperti ini ke Sabah dan Sarawak dan kita berharap ramai rakan-rakan media kita dapat memanfaatkan ilmu AI ini, kalau tak banyak - sedikit, yang boleh bantu mereka dalam bidang tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran kursus ‘AI in the Newsroom’ anjuran Bernama yang disempurnakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di sini hari ini.

Mengulas mengenai kursus itu, Nur-ul Afida berkata ia merupakan program latihan berkaitan AI pertama untuk profesional media yang dilaksanakan dengan peruntukan khas RM1 juta sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Kuching, Sarawak. 

Beliau berkata Bernama akan berusaha sedaya upaya dalam merealisasikan perancangannya untuk melaksanakan kursus-kursus AI seperti yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan.

“Bagi kursus pertama ini kita dapat kerjasama yang baik daripada Huwaei dan Redtone yang turut membawa pakar dari Amerika Syarikat untuk berkongsi perkara-perkara berkaitan dengan AI dalam dunia kewartawanan,” katanya 

Kursus dua hari di Huawei Customer Solution Innovation Centre (CSIC), Integra Tower yang disertai 40 wartawan dan editor daripada pelbagai organisasi media itu bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai AI dan penggunaannya dalam kewartawanan moden.

Turut hadir pada pelancaran kursus itu Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

Hadi sama Editor Eksekutif (menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang) Perkhidmatan Berita Antarabangsa Mohd Shukri Ishak dan Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain dan Ketua Komersil Bernama Mastura Hassan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395720