JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Jurulatih MMA Warga Iran Dipenjara Sembilan Tahun, 20 Sebatan Miliki Kanabis

24/02/2025 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Seorang bekas jurulatih seni bela diri campuran (MMA) warga Iran dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki 1,858.3 gram dadah jenis kanabis, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Dhegani, 27, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Mac 2023.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Ahmad didakwa memiliki dadah itu dengan berat bersih 997.7 gram dan 860.6 gram di dua lokasi di Jalan Sri Permaisuri 8, Cheras dan Jalan Baba Pudu, Dang Wangi di sini antara 3 dan 4.30 petang, 16 Mac 2023.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khalijah Mohd Khalid memohon hukuman setimpal terhadap Ahamd serta hukuman penjara itu tidak berjalan serentak.

Bagaimanapun, peguam Abdul Rashid Ismail merayu hukuman penjara singkat atas alasan anak guamnya telah berada di Penjara Sungai Buloh hampir dua tahun sejak ditangkap pada 16 Mac 2023 dan insaf atas kesalahan dilakukan.

Peguam itu memaklumkan walaupun ditahan di penjara, tertuduh masih aktif dalam bidang sukan dan sering menjalani latihan tinju dengan tahanan lain dengan pengawasan dan kebenaran pihak penjara.

"Anak guam saya sedar bahawa dia tidak sempat untuk menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan selepas ditahan atas kesalahan ini dan dia sepatutnya bergraduasi pada Jun 2023.

"Berdasarkan rekod pencapaian akademik dan kokurikulum, dia mempunyai masa depan yang cerah dan pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan MMA," kata peguam itu yang mengendalikan kes bersama peguam Jacqueline Hannah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395796