KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan menyeru semua institusi pengajian tinggi yang terlibat dalam program Celik MADANI supaya sentiasa menggalakkan pelajar untuk meningkatkan pelaburan bagi memupuk tabiat menyimpan dan melabur dari usia muda, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata generasi muda perlu memiliki kesedaran kewangan yang tinggi, dan mampu membuat keputusan kewangan yang bijak bukan sahaja dapat mengemudi kewangan diri sendiri dan keluarga, tetapi juga diharap memacu kewangan negara pada masa depan.
“Pada kesempatan ini, saya menyeru semua pihak yang terlibat untuk bersama-sama menyokong inisiatif Celik MADANI untuk memastikan kejayaannya.
“Saya difahamkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad banyak menganjurkan pelbagai program literasi kewangan meliputi semua golongan sasaran termasuklah generasi muda negara,” katanya pada majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian Program Celik MADANI di sini hari ini.
Sementara itu, PNB dalam kenyataan memaklumkan sebanyak satu juta pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima pelaburan awal percuma sebanyak RM50 dan alat literasi kewangan menerusi program Celik MADANI, satu inisiatif yang diperkenalkan oleh PNB untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan tabiat menabung dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia.
Program lima tahun yang akan dilaksanakan bermula 1 Mac 2025 hingga 28 Februari 2030, kali pertama diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) pada 22 Ogos 2024.
Program yang diuruskan oleh ASNB itu menyasarkan memanfaatkan kira-kira 200,000 pelajar setiap tahun bagi tempoh sepanjang lima tahun akan datang.
Fasa pertama program ini akan melibatkan pelajar semester pertama institusi pengajian tinggi awam dan universiti berkaitan kerajaan terpilih yang akan menerima pelaburan awal sebanyak RM50 yang dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) mereka dan dikunci selama lima tahun.
Fasa kedua program Celik MADANI yang melibatkan institusi pengajian swasta dan vokasional terpilih juga akan dilaksanakan.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.
-- BERNAMA