KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Havana dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Miami, menyasar untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Pelaburan Luar (MINCEX) Cuba bagi mengembangkan peluang perdagangan dan pelaburan.
Kedutaan Malaysia dan MATRADE Miami juga akan bekerjasama rapat dengan Dewan Perniagaan Cuba serta Pusat Penggalakan Perdagangan Luar dan Pelaburan Cuba (ProCuba).
Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia yang berpangkalan di Miami, Ahmad Shanizam Ab Ghani berkata Malaysia melihat potensi besar untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, khususnya dalam mengembangkan perdagangan dua hala
“Walaupun Malaysia menyedari cabaran akibat daripada langkah-langkah kekangan unilateral yang dikenakan ke atas Cuba, perdagangan berterusan antara kedua-dua negara kita menunjukkan bahawa masih terdapat potensi untuk meningkatkan hubungan ekonomi.
“Malaysia bersedia meneroka lebih banyak peluang untuk mewujudkan bidang kerjasama baharu dengan Cuba bagi manfaat bersama kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata kedua-dua negara boleh mengembangkan lagi perdagangan dalam sektor minyak sawit, produk getah, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan perubatan.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-Cuba, dan kedutaan Malaysia di Cuba kini diteraju oleh Duta Besar Muhammad Radzi Jamaludin.
Tahun lepas, jumlah eksport ke Cuba melonjak 115 peratus kepada US$6.85 juta daripada US$3.18 juta pada 2020, didorong oleh peningkatan pergantungan Cuba terhadap produk Malaysia, terutamanya dalam industri utama seperti produk berasaskan minyak sawit, serta makanan dan minuman diproses.
Malaysia mengeksport produk minyak sawit bernilai US$2.54 juta ke Cuba pada 2024 berbanding US$1.35 juta pada 2020, manakala eksport makanan diproses ke Cuba melonjak kepada US$2.53 juta pada 2024 daripada US$129,088 pada 2020.
Lonjakan eksport makanan diproses ke Cuba didorong terutamanya peningkatan permintaan terhadap produk makanan import berkualiti tinggi dan keupayaan Malaysia menawarkan penyelesaian makanan diperakui Halal dengan kos efektif.
Ahmad Shanizam berkata memandangkan pembaharuan berterusan ekonomi Cuba dan usaha untuk memodenkan industri makanan dan pembuatannya, Malaysia berkedudukan baik pada masa depan untuk mengembangkan eksport barangan bernilai tinggi seperti makanan diproses halal, farmaseutikal dan peralatan perubatan.
“Selain itu, kerjasama teknologi dalam pembangunan pembuatan dan perindustrian boleh membuka ruang kepada firma Malaysia untuk melabur di Cuba atau menjalin usaha sama menghasilkan barangan tempatan,” katanya.
Malaysia menyandang jawatan pengerusi ASEAN tahun ini dan menjadi tuan rumah Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di Langkawi, Kedah pada 18-19 Jan 2025.
Malaysia juga mengalu-alukan Ulang Tahun Ke-5 Cuba yang menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN.
Beliau berkata di bawah kepengerusiannya, Malaysia berharap dapat melihat peningkatan penglibatan antara ASEAN dan Cuba, serta antara Jawatankuasa ASEAN di Havana, Cuba.
“Cuba boleh melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke rantau ASEAN, dan kerjasama yang saling memberi manfaat dengan Malaysia boleh diperluaskan ke negara ASEAN lain melalui perkongsian pengetahuan.
"Cuba boleh memanfaatkan rangkaian perdagangan Malaysia untuk meneroka dan mengembangkan peluang perdagangan dan pelaburan dalam ASEAN dan rantau Asia Pasifik," katanya.
Dengan kedua-dua Malaysia dan Cuba diterima sebagai negara rakan BRICS, beliau berkata negara berharap dapat bekerjasama dengan Cuba dalam memajukan agenda Selatan Global dalam BRICS.
-- BERNAMA