AM

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 Bukti Komitmen Utuh Kerajaan Laksanakan Reformasi Undang-undang

24/02/2025 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali pertama hari ini merupakan permulaan bagi peristiwa yang cukup bersejarah buat Parlimen Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia merupakan bukti jelas komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam melaksanakan agenda reformasi undang-undang dan institusi bagi manfaat dan kesejahteraan rakyat dan negara.

“Bacaan kali yang kedua dijangka dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mac, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini hari ini.

Beliau berkata usai pembentangan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, satu majlis taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang telah dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) untuk memberi perincian dan penerangan menyeluruh berkaitan RUU Perkhidmatan Parlimen itu.

Turut hadir pada sesi taklimat berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Azalina berkata selain bukti kesungguhan Kerajaan MADANI dalam mengotakan janji, RUU itu juga merupakan pencetus perubahan bagi Malaysia mengorak langkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang disanjungi kerana memahami dan menjalankan sistem demokrasi yang sebenar-benarnya.

“Oleh itu, saya cukup yakin RUU ini akan diluluskan dengan sokongan kesemua 222 Ahli Parlimen di Malaysia,” katanya.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.

Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang berfungsi antaranya melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berhubungan dengan Perkhidmatan Parlimen.

Menerusi RUU itu, kerajaan hendaklah mengadakan dana mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396053