KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) yang beribu pejabat di Singapura mengadakan majlis pecah tanah hari ini bagi kemudahan pusat data pertamanya di Johor.
Dikenali sebagai STT Johor 1, kemudahan ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di kampus pusat data STT Johor, justeru memperteguh komitmen negeri berkenaan untuk memajukan infrastruktur digital dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
STT GDC selaku antara penyedia pusat data yang paling pesat berkembang di dunia meletakkan secara strategik kampus pusat datanya di Johor, iaitu di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Iskandar Puteri, dengan jarak hanya 15 kilometer dari Singapura.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua STT GDC bagi Malaysia Darryll Sinnappa berkata kampus pusat data STT Johor menandakan pencapaian penting dalam usaha syarikat untuk melaksanakan infrastruktur digital termaju, menyokong hasrat Malaysia untuk memperluas kepimpinan ekonomi digitalnya di rantau ini.
“Apa yang sama penting adalah komitmen kami untuk membangunkan bakat tempatan menerusi kerjasama kami dengan Johor Talent Development Council (JTDC), yang akan melahirkan tenaga kerja mahir bagi menyokong pertumbuhan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata majlis pecah tanah STT Johor 1 membuktikan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang sedang dilaksanakan.
“Selain menjadi pusat data berskala besar, ia berperanan sebagai platform inovasi, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. MIDA kekal teguh dalam memudahkan pelaburan berimpak tinggi yang memacu kemajuan teknologi di samping memastikan kemajuan yang inklusif,” katanya.
Merangkumi keluasan 8.90 hektar, kampus di Johor mempunyai potensi pembangunan berjumlah 120 megawatt (MW) beban IT, dengan STT Johor 1 adalah kemudahan pertama yang akan dibina.
Ia dihasilkan dengan kapasiti beban IT sebanyak 16MW dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2026.
Lokasi strategik ini akan memastikan kesalinghubungan yang lancar termasuk pengintegrasian dengan STT Singapore 5, hab penyambungan serantau STT GDC di samping menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi pengkomputeran berprestasi tinggi dan awan.
Kemudahan ini lengkap bagi mengendalikan beban kerja pengkomputeran lanjutan untuk perusahaan, agensi kerajaan dan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan selain mampu melaksanakan aplikasi yang memerlukan sumber dengan pantas merentas pelbagai industri.
Ini akan menyokong penyelidikan termaju, simulasi kompleks dan proses membuat keputusan yang berpacukan data.
Selain STT Singapore 5, STT Johor 1 juga akan disambungkan kepada STT Kuala Lumpur 1 serta hab penyambungan pusat data STT GDC yang lain di Thailand, Vietnam dan Filipina menerusi perkhidmatan Pusat Data Saling Bersambung (DCI).
Ia menyediakan pelanggan dengan akses yang boleh dipercayai dan lancar terhadap peluang perniagaan di negara serantau utama.
Seiring dengan hasrat hijau Malaysia, kampus STT Johor akan dikuasakan dengan sumber tenaga boleh baharu (TBB) dan tenaga rendah karbon.
STT GDC sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pembekal TBB untuk mendapatkan tenaga elektrik bersih bagi operasi STT Johor 1.
Penyelesaian tenaga bersih ini bertujuan mencapai kecekapan tenaga yang utama dalam industri di samping mengurangkan kesan alam sekitar kemudahan itu.
STT GDC dan JTDC memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memimpin inisiatif pembangunan bakat industri yang komprehensif bagi sektor pusat data yang berkembang pesat, seiring dengan matlamat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang baru ditubuhkan.
Menurut STT GDC, kerjasama ini bertujuan mewujudkan saluran bakat yang kukuh bagi kalangan profesional terlatih dalam operasi pusat data yang mampan selain menjadikan Johor sebagai hab kepakaran pusat data di Asia Tenggara.
“Dengan menyokong pertumbuhan industri pusat data Malaysia dan memastikan penyediaan kalangan pakar yang berkelayakan, inisiatif ini menyumbang kepada kerjasama ekonomi yang lebih luas di antara Singapura dengan Johor.
"Ia juga akan menjadikan Johor sebagai hab kepakaran pusat data di Asia Tenggara sekali gus meningkatkan keupayaan rantau ini untuk menarik pelaburan global," katanya.
Mengikut statistik, pasaran pusat data Malaysia terus mengalami pertumbuhan luar biasa dengan perancangan pembangunan sebanyak 1.4 gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang, mewakili pertumbuhan sebanyak 264 peratus.
Pengembangan ini dijangka memacu perolehan industri kepada RM3.6 bilion menjelang 2025 serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap infrastruktur digital di rantau ini.
-- BERNAMA