AM

116 Pelatih PLKN 3.0 Berjaya Tamat Latihan Hari Ini, Modul Latihan Diterima Baik - Adly

25/02/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Sebanyak 116 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri pertama berjaya menamatkan latihan selama 45 hari hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata jumlah berkenaan melibatkan 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Beliau berkata dalam siri itu terdapat empat pelatih gagal menamatkan latihan melibatkan dua pelatih atas sebab kesihatan serta masing-masing seorang mendapat panggilan menjalani latihan silat mewakili negara dan mendapat tawaran melanjutkan pengajian.

Adly berkata penganjuran program PLKN 3.0 siri 1/2025 itu dianggap berjaya susulan modul latihan yang diterapkan melibatkan 30 peratus aspek kenegaraan dan 70 peratus ketenteraan diterima baik oleh pelatih.

"Selain modul latihan kenegaraan dan ketenteraan pelatih turut diajar ilmu kemahiran insaniah, keusahawanan serta latihan teknikal dan vokasional bagi mempersiapkan diri mereka pada masa hadapan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran.

Mengulas lanjut, Adly berkata siri dua dan tiga akan diadakan di kem yang sama dan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang melibatkan 500 pelatih bagi setiap siri.

"Pemilihan pelatih sedang dijalankan dan pelatih yang terpilih bagi siri dua akan menjalani latihan selama 45 hari mulai 11 Mei hingga 24 Jun manakala siri tiga bermula 7 Sept hingga 21 Okt ," katanya.

Beliau berkata pelatih yang terpilih wajib menghadiri latihan berkenaan bagaimanapun mereka yang ingin menghadiri latihan itu secara sukarela akan diberikan pertimbangan.

Adly berkata pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa ruang  penambahbaikan untuk dilakukan pada siri dua dan tiga selain memastikan segala kelengkapan yang diperlukan pelatih seperti uniform akan disediakan secukupnya.

Pada 12 Jan lepas, sebanyak 120 pelatih sukarela dari seluruh negara melapor diri bagi mengikuti PLKN 3.0 selepas tujuh tahun dimansuhkan.

Pelaksanaan semula program itu yang dijalankan secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda di Malaysia, selain melengkapkan mereka dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup menerusi pengalaman latihan fizikal dan mental.  

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396249