KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Malaysia berada di landasan yang betul untuk melancarkan potensinya memandangkan ekonomi kekal pada trajektori yang stabil, disokong oleh pembaharuan kerajaan dan asas-asas ekonomi yang kukuh, menurut ahli ekonomi ASEAN HSBC Yun Liu.
Beliau berkata negara ini telah menunjukkan daya tahan menghadapi ketidaktentuan global, dengan petunjuk positif seperti ringgit yang menjadi mata wang terbaik di Asia tahun lepas, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus, dan pelaburan dalam teknologi penting.
Beliau berkata kestabilan politik dan pembaharuan dasar juga telah meningkatkan sentimen di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Walaupun tarif perdagangan, terutamanya dengan Amerika Syarikat (AS), menimbulkan potensi risiko, namun asas eksport Malaysia yang pelbagai membantu mengurangkan kebimbangan itu.
"Asas-asas jangka panjang Malaysia yang semakin baik akan terus mencipta peluang, terutamanya dalam sektor elektronik," kata Liu dalam laporan portal berita Nikkei Asia.
Beberapa perjanjian perdagangan bebas baru-baru ini, termasuk dengan Emiriah Arab Bersatu dan Kesatuan Eropah, turut meningkatkan lagi prospek perdagangan.
Sektor teknologi, terutamanya di Pulau Pinang dan Johor, merupakan pemacu utama bagi pelaburan langsung asing, meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global.
"Baru-baru ini, komitmen besar juga turut mengalir masuk ke pusat data di negeri Johor yang bersempadan dengan Singapura.
"Ini sangat penting bagi Malaysia dalam usaha melancarkan potensi penuhnya, bukan sahaja dari segi mengembangkan bahagian pasarannya, tetapi juga membolehkan negara memenuhi cita-citanya untuk meningkatkan rantaian nilai," katanya.
Sementara itu, Liu berkata penggunaan domestik kekal baik, hasil gabungan beberapa faktor, termasuk inflasi yang rendah dan subsidi, serta pelaburan besar dalam projek-projek infrastruktur di seluruh negara.
Pembaharuan fiskal kerajaan, termasuk rasionalisasi subsidi, sedang mewujudkan asas untuk pertumbuhan jangka panjang.
Kerjasama Malaysia dengan Singapura melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memperlihatkan potensi kerjasama rentas sempadan bagi meningkatkan ekonomi.
Ketika Malaysia mengharungi ketidaktentuan, asas-asas ekonomi yang kukuh dan pembaharuan yang tepat pada masanya meletakkan negara untuk pertumbuhan yang berterusan dan memastikan ia kekal sebagai kuasa yang stabil di rantau ini.
"Jika negara ini melakukannya dengan cara yang betul, Malaysia boleh bersinar semula," tambah Liu.
-- BERNAMA