AM

200 Graduan IPT Terima Anugerah Kecemerlangan Akademik YBR

26/02/2025 12:46 AM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Seramai 200 graduan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara diberi pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini hari ini atas pencapaian cemerlang mereka dalam akademik.

Anugerah tersebut diberikan kepada  150 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 50 graduan Sarjana yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 ke atas.

Wang tunai berjumlah RM200,000 sumbangan YBR diberikan kepada setiap penerima iaitu RM1,000 seorang berserta sijil penghargaan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian yang bermula pada  Januari 2022 hingga Ogos 2024.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick yang menyempurnakan majlis itu berharap anugerah tersebut dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan akademik.

Inisiatif ini sedikit sebanyak mendorong anak muda untuk mencapai tahap pendidikan lebih tinggi dalam membina masa depan yang lebih gemilang,”katanya pada majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang pula berkata ganjaran RM1,000 yang diberikan adalah tanda penghargaan atas usaha gigih para graduan.

"Semoga anugerah ini memberi inspirasi kepada pelajar yang masih meneruskan pengajian dan menjadi tanda sokongan YBR dalam agenda pendidikan bagi melahirkan modal insan mahir untuk negara,”katanya.

Dalam majlis yang sama, YBR turut menyerahkan komputer riba kepada 25 pelajar terbaik matrikulasi tajaan YBR yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Kerjasama antara YBR dan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan telah bermula sejak 2022 dengan jumlah keseluruhan 75 pelajar terbaik matrikulasi menerima biasiswa YBR setakat ini.

--BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396574