Oleh Norazurra Aziz
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sesi persekolahan 2025 yang memasuki minggu kedua, kini perhatian turut tertumpu kepada aspek pemakanan di sekolah yang juga memainkan peranan penting dalam membantu memastikan kesihatan pelajar dan prestasi akademik.
Andai di rumah, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak mendapat makanan berkhasiat namun di sekolah, kantin dan koperasi menjadi sumber utama pelajar mendapatkan makanan sepanjang hari.
Bagi memastikan makanan yang dijual memenuhi standard kesihatan, kantin sekolah wajib mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menetapkan hanya makanan sihat boleh dijual di premis sekolah.
Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) Jazmi Hassan berkata pengusaha kantin perlu memastikan hidangan disediakan mematuhi tahap nutrisi ditetapkan serta tidak mengandungi bahan berproses atau gula berlebihan.
“Contohnya, kantin diwajibkan menyediakan buah-buahan serta makanan lain yang mengikut kalori pemakanan dibenarkan. Semua ini terkandung dalam garis panduan KKM yang perlu dipatuhi oleh pengusaha kantin sekolah,” katanya kepada Bernama.
Jazmi berkata selain menyediakan makanan sihat, pengusaha kantin juga dilarang menjual makanan berproses seperti sosej, nuget, snek ringan serta makanan dan minuman tinggi kandungan gula.
Bagi sekolah rendah yang melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), pihak kantin perlu menampal poster berkaitan kalori makanan bagi memberi kesedaran kepada pelajar mengenai pemakanan sihat.
Beliau berkata setiap sekolah telah melantik seorang ‘guru kantin’ yang bertanggungjawab memantau menu harian yang dijual manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut menjalankan pemeriksaan berkala dua kali setahun.
“Selain itu, pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) juga menjalankan pemeriksaan mengejut bagi memastikan tahap kebersihan kantin sentiasa terjaga,” katanya.
Beliau berkata pihak sekolah tidak terlibat secara langsung dalam penentuan menu namun mereka boleh memberikan cadangan selagi menu berkenaan sesuai dan mematuhi garis panduan ditetapkan.
Berhubung harga makanan di kantin sekolah, Jazmi berkata pengusaha perlu mematuhi kadar harga yang telah dipersetujui dalam sebut harga yang dikemukakan kepada pihak sekolah semasa menandatangani kontrak perkhidmatan.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan dapat menilai semula kos bahan mentah bagi memastikan pengusaha kantin dapat terus menyediakan makanan sihat pada harga berpatutan.
“Untuk menyediakan makanan sihat, cabaran utamanya adalah kos bahan mentah yang tidak stabil. Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan subsidi bagi membantu pengusaha kantin menghadapi bebanan kos ini,” katanya sambil menambah harga makanan di kantin sekolah masih lebih murah berbanding di luar.
Dalam memastikan standard keselamatan makanan dipatuhi, Jazmi menegaskan bahawa semua pengusaha kantin wajib menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendapat suntikan tifoid sebelum boleh beroperasi.
“Persatuan memandang serius isu keselamatan makanan di kantin sekolah. Jika berlaku kes keracunan makanan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pengusaha yang gagal mematuhi peraturan,” katanya.
-- BERNAMA