GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) – ASEAN perlu meningkatkan kesatuan dan kerjasama serantau yang kukuh untuk menangani ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang setakat ini tiada negara mampu mengatasinya secara bersendirian.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dalam era menyaksikan cabaran keselamatan semakin kompleks dan merentasi sempadan negara, kesepaduan ASEAN serta kekukuhan kerjasama serantau menjadi semakin penting berbanding sebelum ini.
“… adalah penting untuk kita meningkatkan kapasiti kolektif untuk memastikan kita dapat bertindak dengan lebih berkesan dan proaktif terhadap cabaran-cabaran itu,” katanya dalam ucapan pada Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sini hari ini.
Selaku Pengerusi ADMM tahun ini, Malaysia komited memajukan beberapa keutamaan pertahanan yang menangani cabaran keselamatan semasa dan akan datang, termasuk seruan untuk ASEAN memperkukuh kesiapsiagaan serta kerjasama dalam menghadapi ancaman daripada pelaku bukan negara serta risiko biosekuriti demi keamanan dan daya tahan rantau itu.
Beliau berkata integriti sempadan antarabangsa telah lama diancam oleh aktiviti haram, menjadi satu daripada ancaman keselamatan bukan tradisional yang utama di ASEAN.
“Lebih banyak halangan akan muncul pada masa depan disebabkan oleh pelaku bukan negara dan ini memerlukan kesiapsiagaan diperkukuh dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Aktiviti-aktiviti itu melemahkan dasar perdagangan bebas dan keterbukaan ASEAN dan boleh menghakis keyakinan rakyat. Oleh itu, isu berkenaan memerlukan perhatian serius dan pendekatan strategik yang bersepadu untuk memelihara keselamatan serta kemakmuran ASEAN,” katanya.
Mohamed Khaled juga menyeru ASEAN memperkukuh pertahanan dalam peperangan biologi yakni menggabungkan kesihatan dan perubatan dalam dasar pertahanan di rantau ini kerana pandemik serta ancaman biologi kini bukan sahaja menjadi isu kesihatan, tetapi turut mencetuskan risiko terhadap kesiapsiagaan keselamatan ASEAN.
“Kita telah menyaksikan bagaimana pandemik COVID-19 dengan mudah melemahkan ekonomi dan tadbir urus keselamatan serta infrastruktur. Kepesatan pertumbuhan populasi dan perubahan iklim, kita sepatutnya menjangkakan lebih banyak penyakit berjangkit akan muncul, seperti selesema burung (H5N1, H7N9) dan virus Nipah,” katanya.
Malaysia juga menggesa ASEAN untuk bekerjasama memanfaatkan potensi kecerdasan buatan (AI) dalam aspek pertahanan secara etika dan bertanggungjawab serta menjaga perairan dan laluan maritim rantau ini daripada kemunculan ancaman hibrid apabila sistem digital semakin terintegrasi dalam aktiviti maritim.
Beliau berkata Malaysia juga menekankan pentingnya mengukuhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), terutama dalam kalangan tentera selain memperkukuh ketahanan rantaian bekalan pertahanan.
Malaysia yakin melalui kerjasama dalam bidang-bidang kritikal ini, ASEAN berupaya memperkukuh kedudukan keselamatan kolektif serta menyumbang kepada ASEAN yang stabil dan makmur.
Sementara itu, selaku Pengerusi ADMM dan ADMM Plus tahun ini, Mohamed Khaled berkata Malaysia mengetengahkan tema “Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran” yang mencerminkan keyakinan badan serantau ini bahawa keselamatan menjadi asas pertumbuhan ekonomi, kestabilan serta kesejahteraan rakyat.
ASEAN yang kuat dan bersatu membolehkan badan serantau ini mampu mengharungi kepesatan landskap geopolitik pada masa ini dan memastikan rantau berkenaan kekal aman, berdaya tahan dan makmur.
Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman ini yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".
Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini, menjadikannya antara kepengerusian paling aktif sejak negara ini memegang peranan yang sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
-- BERNAMA