AM

Caj Kesesakan, Inisiatif Angkat Martabat Penghibur Jalanan Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini 

27/02/2025 09:38 AM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan caj kesesakan dan inisiatif mengangkat martabat penghibur jalanan di ibu negara dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan sekiranya dilaksanakan dan jangkaan jumlah penurunan kesesakan dikemukakan kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. 

Soalan berhubung inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengangkat martabat penghibur jalanan di ibu negara seperti di kota-kota utama dunia dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 diajukan P. Prabakaran (PH-Batu) kepada Perdana Menteri pada sesi sama.

Dalam sesi soal jawab, S. Kesavan (PH-Sungai Siput) akan mengajukan soalan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai cadangan memperhebat pelaksanaan program pembudayaan seperti Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics untuk menarik minat masyarakat terhadap pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Persoalan mengenai strategi Kementerian Digital untuk melaksanakan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan agar usaha kecerdasan buatan (AI) dioptimumkan serta strategi supaya penjawat awam dapat mendalami pengoperasian sistem AI pula, dijadualkan diajukan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak).

Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai perancangan kerajaan untuk menangani isu kuarters guru terbengkalai di seluruh negara. 

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan dan perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2025 Siri 1 dan diikuti pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397069