JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki OKU Mengaku Bersalah Lakukan Amang Seksual Terhadap Kanak-kanak

27/02/2025 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor.

Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mahkamah menetapkan 27 Mac untuk jatuh hukum selepas laporan sosial diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan di sebuah masjid di Batang Kali di sini pada 6.20 pagi, 21 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memberitahu mahkamah tertuduh merupakan pesalah mudah dan memohon agar satu tarikh sebutan diberikan oleh mahkamah bagi pihak pendakwaan mendapatkan laporan sosial.

Nurfadzlin kemudian mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397168