KUALA TERENGGANU, 27 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menggunakan khidmat dua anjing pengesan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pekerja kapal yang terjatuh di Jeti Pulau Duyong di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota Yahya Hanafi berkata dua ekor anjing baka labrador, iaitu Frankie dan Denti daripada Unit K9 JBPM itu dibawa untuk mengesan Ahmad Nasaruddin Muhammad, 35, dengan kaedah pencarian darat di kawasan sekitar Sungai Terengganu.
Beliau berkata operasi yang bermula kira-kira 7 pagi tadi disertai 40 anggota terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu membabitkan kawasan seluas dua kilometer persegi dari Pulau Duyong sehingga muara Sungai Terengganu.
"Sebanyak lima bot daripada pelbagai agensi digunakan hari ini, selain 16 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM akan bergilir-gilir melakukan selaman untuk mengesan mangsa.
"Bagaimanapun, cuaca hari ini tidak begitu baik … angin kuat serta dasar sungai yang keruh menyukarkan usaha pencarian," katanya ketika ditemui di Jeti Pulau Duyong hari ini.
Sementara itu, kakak mangsa Zalina, 42, dari Puncak Alam, Selangor berkata adiknya sepatutnya pulang ke pangkuan keluarga semalam bagi menyambut Ramadan dan menemani isteri yang dijangka bersalin pada awal April ini.
Zalina berkata mangsa ada menghubungi ibu mereka melalui aplikasi WhatsApp kira-kira 9 pagi semalam, kira-kira dua jam sebelum kejadian malang itu berlaku.
"Ibu tidak sempat menjawab panggilan kerana sibuk di dapur. Jadi, adik meninggalkan pesanan melalui WhatsApp dan beritahu hendak sangat bercakap dengan ibu," katanya.
Zalina berkata mereka sekeluarga amat sedih dan terkilan kerana mangsa yang memiliki empat anak perempuan tidak sempat melihat wajah anak lelaki sulung yang bakal lahir.
Media semalam melaporkan Ahmad Nasaruddin yang berasal dari Selangor, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam muara Sungai Terengganu pada 10.24 pagi semasa melakukan kerja pembersihan di kapal yang berlabuh di jeti itu.
-- BERNAMA