EKONOMI

Untung Bersih RHB Bank Melonjak Kepada RM3.12 Bilion Pada Tahun Kewangan 2024

27/02/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih RHB Bank Bhd melonjak kepada RM3.12 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 berbanding RM2.81 bilion pada tahun kewangan 2023, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan keseluruhan yang kukuh.

RHB Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan pada tahun kewangan 2024 juga naik kepada RM17.91 bilion daripada RM16.58 bilion sebelumnya.

Susulan prestasinya, kumpulan tersebut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 28 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2024 sebanyak 43 sen setiap saham.

Pendapatan keseluruhan RHB Bank bertambah sebanyak 10.7 peratus tahun ke tahun kepada RM8.6 bilion dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam pendapatan berasaskan dana bersih dan bukan berasaskan dana.

Nisbah kos kepada pendapatan kumpulan berkembang kepada 46.7 peratus daripada 47.5 peratus tahun ke tahun manakala pulangan ke atas ekuiti bertambah baik kepada 10.04 peratus yang mencerminkan peningkatan prestasi utama selain menekankan strategi kewangan berdisiplin dan komitmen kumpulan terhadap kecekapan operasi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Rashid Mohamad mengaitkan prestasi kewangan kukuh tahun kewangan 2024 dengan keberkesanan strategi korporat iaitu Bersama Kita Maju 24 (TWP24) yang memacu pertumbuhan stabil selain meningkatkan kecekapan operasi.

"Sebagai persediaan untuk masa depan, strategi korporat baharu kami akan memberi tumpuan kepada mempercepatkan transformasi digital serta memacu inovasi untuk mewujudkan pengalaman perbankan yang lancar dan memberi tumpuan kepada pelanggan.

"Dengan memanfaatkan teknologi terkini dan cerapan dipacu data, kami menyasarkan meningkatkan kecekapan, memperdalam penglibatan pelanggan serta memperkasakan individu dan perniagaan dalam perjalanan kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Aset keseluruhan RHB Bank meningkat sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun kepada RM350 bilion manakala nisbah modal kekal kukuh.

Nisbah Ekuiti Biasa Tier-1 (CET-1) dan nisbah modal keseluruhan masing-masing berada pada 16.4 peratus dan 19.0 peratus yang memperkukuh kedudukan modal kumpulan bagi menyokong pertumbuhan masa depan.

Pinjaman kasar RHB Bank berkembang sebanyak 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM238 bilion disokong oleh pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus, 8.9 peratus dan 8.3 peratus, masing-masing dalam segmen Perbankan Komuniti Kumpulan, Perbankan Borong Kumpulan dan segmen Singapura.

Pinjaman domestiknya pula meningkat sebanyak 7.3 peratus tahun ke tahun, melebihi pertumbuhan industri sebanyak 5.5 peratus.

Setakat 31 Dis, 2024, baki Akaun Pelbagai Mata Wang meningkat kepada RM4.4 bilion manakala inisiatif Kad Debit-i RHB MySiswa dengan Kementerian Pendidikan Tinggi masing-masing menyumbang RM3.8 bilion dan RM436 juta dalam deposit tetap serta akaun semasa dan akaun simpanan (CASA).

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397224