BRASILIA, 27 Feb (Bernama-Xinhua) -- Brazil selaku pengerusi BRICS akan mengukuhkan usaha kumpulan itu untuk mewujudkan dunia multipolar dan hubungan global yang lebih adil, kata Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada Rabu, lapor Xinhua.
Bercakap pada mesyuarat perunding BRICS di Brasilia, Lula menggariskan keutamaan bagi kepimpinan Brazil, termasuk tadbir urus global, penjagaan kesihatan, tindakan iklim, perdagangan, kecerdasan buatan dan pembangunan institusi.
Beliau menyeru usaha kolektif untuk mempromosikan keamanan dan merombak sistem keselamatan multilateral, sambil memberi amaran bahawa "unilateralisme melemahkan orde antarabangsa" manakala rundingan "berdasarkan kuasa" boleh membawa kepada ketidakstabilan dan konflik.
Lula turut menekankan keperluan mendesak untuk kerjasama penjagaan kesihatan di Selatan Global, dengan mencadangkan inisiatif yang diterajui BRICS untuk menghapuskan penyakit tropika yang diabaikan. Beliau memberi amaran bahawa melemahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memberi kesan buruk dan menyeru kepada tadbir urus kesihatan global yang lebih kukuh bagi memastikan akses yang adil kepada ubat-ubatan dan vaksin.
Mengenai perubahan iklim, Lula memberi amaran mengenai suhu dan pelepasan gas rumah hijau yang mencapai rekod tertinggi, sambil menggesa BRICS untuk memperjuangkan hasil yang lebih bercita-cita tinggi pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30), sambil memastikan pertumbuhan ekonomi sejajar dengan keadilan sosial dan alam sekitar.
Menekankan keperluan untuk menghapuskan halangan perdagangan di tengah-tengah peningkatan fahaman perlindungan, Lula menyokong pembaharuan dalam sistem kewangan global dan menyeru BRICS untuk memainkan peranan utama dalam membentuk tadbir urus global melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Presiden itu juga menyeru tindakan yang diselaraskan untuk menyokong Afrika Selatan selaku pengerusi G20 dan kepimpinan Brazil dalam COP30 yang dijadualkan pada November.
--BERNAMA-XINHUA