DUNIA

Elon Musk Dedah Jabatan AS 'Tidak Sengaja' Potong Dana Pencegahan Ebola 

27/02/2025 04:21 PM

WASHINGTON, 27 Feb (Bernama-dpa) -- Jutawan teknologi Elon Musk mendedahkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) secara tidak sengaja menghentikan dana pencegahan virus Ebola, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). 

Musk memberitahu perkara itu dalam satu mesyuarat Kabinet AS bahawa Jabatan Kecekapan Kerajaan melakukan kesilapan apabila mengurangkan kakitangan dan program dalam beberapa minggu kebelakangan ini. 

"Kami tidak sempurna, tetapi apabila kami melakukan kesilapan, kami akan memperbaikinya dengan cepat," katanya. 

Musk berkata antara kesilapan terbabit termasuk pembatalan pencegahan Ebola semasa pemotongan dana terhadap Agensi Pembangunan Antarabangsa AS, USAID. 

"Saya rasa kita semua mahukan pencegahan Ebola. Jadi, kami memulihkan pencegahan Ebola dengan segera, dan tiada gangguan berlaku," kata Musk. 

Namun, beliau menekankan perlunya tindakan segera untuk mencapai pengurangan defisit belanjawan sebanyak US$1 trilion bagi tahun kewangan 2026.

“Ia memerlukan penjimatan US$4 bilion sehari, setiap hari dari sekarang hingga akhir September. "Tetapi kami boleh melakukannya dan kami akan melakukannya," katanya. 

Ebola ialah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa dan boleh merebak melalui sentuhan fizikal serta cecair badan.

USAID merupakan antara agensi bantuan terbesar di dunia, menggaji kira-kira 10,000 orang, dengan dua pertiga daripadanya berkhidmat di luar AS.

Ia bertanggungjawab mengagihkan sebahagian besar bantuan kemanusiaan kerajaan AS kepada negara membangun dan negara yang mengalami krisis. 

Pentadbiran Presiden AS Donald Trump secara efektif membubarkan agensi itu dengan hampir semua kakitangannya dicutikan.

Trump membekukan dana USAID pada Januari sementara menunggu semakan dalaman, yang memberi kesan kepada pelbagai inisiatif di seluruh dunia. 

-- BERNAMA-dpa 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397284