AM

Waris Mangsa Pokok Tumbang Boleh Fail Tuntutan Di Mahkamah - MBDK

27/02/2025 08:48 PM

KLANG, 27 Feb (Bernama) -- Waris keluarga peniaga makanan yang maut dalam kejadian pokok tumbang di sini pada Isnin lepas boleh memfailkan tuntutan di mahkamah berhubung jumlah pampasan sekiranya tidak bersetuju dengan apa yang ditawarkan pihak insurans.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Datuk Abd Hamid Hussain berkata ketika ini, insurans dan polisi yang dibeli pihak berkuasa tempatan itu tidak menyatakan jumlah sebenar pampasan yang perlu dibayar, namun MBDK sentiasa terbuka melakukan rundingan dengan syarikat insurans.

“Seandainya jumlah yang ditawarkan pihak insurans tidak dipersetujui pihak waris, maka mereka boleh memfailkan kes kepada mahkamah untuk membuat jumlah tuntutan dan diputuskan mahkamah.

“Kalau tiada berlaku apa-apa pertikaian dan pihak insurans boleh menawarkan jumlah yang munasabah dan dipersetujui pihak waris, perkara ini tidak akan berpanjanganlah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Klang Sustainable Stormwater Plan (KLASS) 2025-2030 di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan MBDK sedang berunding dengan syarikat insurans bagi memberikan pampasan kepada keluarga Aszehari Ansar, 46, melalui insurans liabiliti awam yang dibeli pihak berkuasa tempatan itu.

Malah, isterinya Siti Norwani Mohamed, 41, juga dilaporkan belum membuat sebarang keputusan berhubung tindakan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam isu pokok tumbang yang menghempap suaminya di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini Isnin lepas.

Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata MBDK akan meminta pihak insurans terlibat mempercepatkan proses tuntutan berkaitan bagi kemudahan keluarga Allahyarham Aszehari.

“Kita akan percepatkan sebab kalau di peringkat insurans biasanya mengambil masa tiga hingga enam bulan tetapi kalau kes dibawa ke mahkamah dan jumlah tuntutan tidak dipersetujui, prosesnya bergantung kepada prosiding di mahkamah,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397424