EKONOMI

MR DIY Catat Keuntungan Bersih RM568.94 Juta, Umum Dividen Interim 1.8 Sen

27/02/2025 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih MR DIY Group (M) Bhd melonjak kepada RM568.94 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 berbanding RM560.67 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelum ini.

Pendapatan meningkat 6.7 peratus kepada RM4.65 bilion daripada RM4.36 bilion pada tahun kewangan 2023 selepas dipacu oleh sumbangan dari kedai-kedai baharu, yang menokok 13.8 peratus dari tahun ke tahun susulan kenaikan jumlah transaksi iaitu 10.8 peratus dari tahun ke tahun kepada 182.8 juta.

"Pendapatan yang lebih tinggi ini sebahagiannya telah diimbangi oleh pertumbuhan jualan “like for like” yang negatif termasuk penurunan 3.6 peratus dari tahun ke tahun dalam saiz purata bakul, mencerminkan sentimen pengguna yang lebih lemah," kata peruncit pembaikan rumah terbesar di negara ini melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia. 

Bagi suku keempat berakhir pada 31 Disember 2024, keuntungan bersih kumpulan merosot kepada RM147.20 juta berbanding RM158.63 juta yang disaksikan semasa suku tahun sebelumnya.

Sebaliknya, pendapatan naik kepada RM1.18 bilion daripada RM1.15 bilion, didorong oleh sumbangan dari kedai-kedai baharu.

Rangkaian kedai kumpulan telah bertambah daripada 1,261 kedai kepada 1,435 dalam tempoh satu tahun, mewakili penambahan bersih 174 kedai setakat Disember 2024.

Jumlah transaksi naik 5.9 peratus dari tahun ke tahun kepada 47.1 juta semasa suku keempat tahun kewangan 2024.

Hasil yang lebih tinggi sebahagiannya telah diimbangi oleh pertumbuhan jualan “like for like” yang negatif dan penyusutan 3.0 peratus dalam saiz purata bakul, menandakan sentimen pengguna yang agak kurang memberangsangkan.

Sementara itu, MR DIY melalui satu kenyataan berkata ia telah meningkatkan nisbah pembayaran dividen bagi suku keempat tahun kewangan kepada 115.7 peratus, naik 80.3 peratus dari tahun ke tahun.

Dividen interim sebanyak 1.8 sen sesaham yang diisytiharkan hari ini mewakili jumlah pembayaran dividen sebanyak RM170.3 juta (suku keempat tahun kewangan 2023 berjumlah RM94.4 juta), bersamaan dengan nisbah pembayaran 115.7 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT). 

Jumlah kumulatif dividen untuk tahun kewangan 2024 adalah sebanyak RM472.9 juta (tahun kewangan 2023 : RM302.1 juta), bersamaan dengan 83.1 peratus pembayaran PAT (tahun kewangan 2023 adalah 54 peratus daripada PAT). 

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata pembayaran yang lebih tinggi ini melebihi sasaran jajaran 50-65 peratus, menandakan kedudukan tunai kumpulan yang amat positif, aliran tunai yang kukuh dan keuntungan yang mantap. 

"Ia juga mencerminkan keyakinan kami terhadap pendapatan masa depan syarikat, pada masa yang sama, secara langsung memberi manfaat kepada para pemegang saham setia kami dengan pulangan yang lebih tinggi ke atas pelaburan mereka,” katanya. 

"Yang paling penting, ia memberi kami sumber untuk melabur secara strategik dalam pertumbuhan yang mampan dan menyasarkan nisbah pembayaran dividen yang lebih baik bagi mengimbangi kepentingan semua pihak berkepentingan," katanya.   

Melihat ke depan, beliau berkata kumpulan itu yakin dengan keupayaannya untuk menavigasi landskap semasa, memanfaatkan rangkaiannya yang luas dan pemahaman yang mendalam mengenai keperluan seharian segmen pengguna yang berbeza-beza di seluruh negara. 

“Memandangkan isi rumah tetap berhati-hati dengan perbelanjaan, membeli dengan harga yang rendah selain mencari nilai yang lebih baik, kami berada dalam kedudukan yang baik bagi memenuhi keperluan mereka.

“Tempoh peralihan seperti sekarang memberikan cabaran tetapi kami melihatnya sebagai peluang untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan kami sebagai peruncit isi rumah pilihan Malaysia,” kata Ong.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397448