AM

Program SelCo Ditambah Baik, Pengecualian Syarat Hingga 31 Dis - TPM Fadillah

27/02/2025 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kerajaan bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap syarat Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo) termasuk pengecualian syarat pemasangan sistem penstoran tenaga bagi semua kategori hingga 31 Dis 2025.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu bertujuan memberi ruang kepada pemain industri untuk menyesuaikan diri dengan keperluan baharu tanpa menanggung beban kewangan tinggi.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penambahbaikan lain termasuk kapasiti pepasangan di bawah 1 megawatt peak (MWp) dikecualikan caj sedia, dan caj tunggu sedia bagi kapasiti melebihi 1MWp diturunkan daripada RM14 per kilowatts peak (kWp) kepada RM12/kWp.

“Pihak industri rata-ratanya menyambut baik penambahbaikan untuk program ini namun mereka berpandangan bahawa syarat caj tunggu sedia dan pemasangan sistem penstoran tenaga akan mengurangkan pulangan perniagaan.

“Perkara ini dikaji semula untuk mencapai titik pertemuan antara kestabilan grid dan kebolehlaksanaan perniagaan. Hasil beberapa sesi perbincangan serta konsultasi dengan pihak berkepentingan, kita setuju dengan langkah penambahbaikan syarat caj tunggu sedia dan pemasangan sistem penstoran tenaga bagi program ini,” katanya.

Fadillah berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) di sini malam ini, yang dianjurkan bagi meraikan kejayaan 38 organisasi sektor awam dan swasta melaksanakan inisiatif peralihan tenaga negara dengan cemerlang.

Selain tumpuan kepada peningkatan penjanaan tenaga hijau, beliau berkata fokus diberikan kepada usaha memperkukuhkan inisiatif 3D iaitu ‘Digitalisation’, ‘Decentralisation’ dan ‘Decarbonisation’ bagi mewujudkan ekosistem pelaburan hijau yang kondusif dengan memudahkan serta mempelbagaikan akses bekalan elektrik hijau. 

Beliau berkata bagi tujuan itu, antara langkah dilakukan ialah meningkatkan komposisi sumber tenaga boleh baharu (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik negara melalui pelaksanaan bidaan Program Solar Berskala Besar (LSS) bagi 2025 dan 2026 dengan kapasiti hingga 6,000MW.

Selain itu, beliau berkata pembinaan loji jana kuasa solar serta loji jana kuasa solar terapung terbesar negara dengan kapasiti 650MWp serta 450MWp, yang dijangka mula beroperasi seawal suku tahun keempat 2027.

Fadillah berkata kerajaan juga membuka akses dan pilihan pembekalan elektrik hijau lebih luas kepada pengguna elektrik bagi memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus, dengan pelaksanaan program baharu seperti Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat.

“Selain itu, sumber penjanaan TBB dipelbagaikan dengan menggalakkan pembangunan sumber TBB bersifat bekalan yang stabil seperti biogas, biojisim dan hidro kecil melalui Program Tarif Galakan dan Program Penjanaan Tenaga Karbon Rendah,” katanya 

Beliau berkata, langkah lain termasuk memanfaatkan ruang bumbung dan kawasan premis bangunan untuk pemasangan sistem solar dengan meningkatkan kuota Program Pemeteran Tenaga Bersih, menambah baik program Tarif Elektrik Hijau dan perdagangan TBB merentas sempadan pertama antara Malaysia dan Singapura.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397479