KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, membolehkan media di negara ini menjalankan tugas dengan lebih berkesan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata konsep kawal selia kendiri dalam RUU itu juga menjadi satu indikator bahawa industri media di negara ini adalah sihat dan hak rakyat untuk bersuara juga tidak dikekang.
“Kita harap dengan adanya Majlis Media Malaysia ini, media secara umumnya akan dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan sekiranya timbul apa-apa isu (berkaitan), maka dalam kalangan media sendiri melalui majlis ini dapat menguruskannya secara kendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program pengagihan beras fidyah kepada asnaf di kawasan Lembah Pantai anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd di sini hari ini.
Fahmi berkata melalui MMM juga diharap dapat membendung penyebaran berita palsu.
“Ia bermula dengan etika kewartawanan yang kita harap melalui majlis ini (MMM) diambil tindakan, kerana kalau kerajaan yang minta... ia seolah-olah kita mengekang.
“Kalau industri sendiri yang mengatakan kita patut sebagai industri bergerak ke arah standard kewartawanan, yang ditentukan oleh industri itu sendiri, saya nampak ini lebih mampan, lebih baik untuk kebebasan media di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau akan mengusahakan beberapa perkara berkaitan dan ia akan diumumkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang dijadualkan berlangsung Jun depan.
“Isu yang dihadapi sekarang oleh banyak syarikat media ialah isu keuntungan, kewangan iaitu isu syarikat perniagaan, jadi ini antara beberapa perkara yang akan saya susuli.
“Setelah rang undang-undang ini diluluskan di Dewan Rakyat, saya telah bertemu dengan Jawatankuasa Protem yang telah membantu menggubal rang undang-undang ini, dan juga pasukan Ketua Pengarang.
“Saya maklumkan kita sedang berusaha melaksanakan beberapa perkara yang kita harap dapat diumumkan sewaktu HAWANA Jun tahun ini… ia dapat memberi sokongan, bantuan kepada syarikat-syarikat media di Malaysia,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU MMM 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
-- BERNAMA