EKONOMI

MIHAS Terus Kembangkan Sayap Global Di Shanghai Selepas kejayaan Di Dubai

27/02/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan edisi kedua peringkat antarabangsa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai, China.

MATRADE dalam kenyataan hari ini berkata MIHAS@Shanghai dijadualkan berlangsung mulai 5 hingga 10 November ini, yang dianjurkan bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) 2025.

"Acara berprestij ini menyediakan platform utama bagi perniagaan Malaysia untuk mempamerkan produk dan meluaskan keberadaan pasaran mereka di China, seterusnya meningkatkan daya saing mereka di peringkat global," katanya.

Pameran MIHAS@Dubai telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Dubai pada 18 hingga 20 Nov 2024.

Mengulas selanjutnya MATRADE berkata, bersempena dengan penyertaannya dalam acara itu, ia telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Biro CIIE untuk memperteguh hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.

“Majlis pemeteraian itu berlangsung di Persidangan Promo CIIE ke-8 di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang melambangkan komitmen kedua-dua pihak untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala dan menambah baik akses pasaran untuk pengeksport Malaysia,” katanya.

MoU berkenaan dimeterai antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE Abu Bakar Yusof dan Pengurus Besar Jabatan Pameran CIIE Fang Hui, disaksikan oleh Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, CEO MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Eksekutif CIIE Wu Zhengping.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan gabungannya yang kukuh secara strategik, mempercepat pertumbuhan bersama dan mencipta peluang baharu demi kejayaan.

"Menerusi acara antarabangsa, syarikat Malaysia akan mendapat laluan terus untuk mengembangkan jangkauan pasaran ke China dan sekitarnya.

"Kerjasama ini berpotensi besar untuk mencipta nilai yang berkekalan, meningkatkan kebolehlihatan global dan menguatkan lagi rangkaian yang akan meletakkan MATRADE dan CIIE untuk pertumbuhan masa depan di pasaran global," katanya.

Sementara itu, Mohd Mustafa berkata kerjasama dengan CIIE menawarkan potensi yang kukuh dalam promosi acara, membolehkan kedua-dua pihak memaksimumkan kekuatan dan meraih manfaat penting daripada acara antarabangsa.

"Acara ini menyediakan platform tersendiri untuk pendedahan global, mencipta peluang kepada syarikat Malaysia untuk menjalinkan perkongsian yang bernilai, meningkatkan kebolehlihatan jenama dan mengembangkan pasaran mereka ke China dan sekitarnya," katanya.

Pendaftaran kini dibuka, justeru MATRADE mempelawa syarikat-syarikat Malaysia untuk merebut peluang di MIHAS@Shanghai.

Syarikat yang berminat boleh menghubungi 03-6207 780 untuk pertanyaan lanjut.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397488