Daripada Muhammad Faiz Baharin
DUBAI, 27 Feb (Bernama) -- Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berkenan mengadakan lawatan ke Malaysia bagi menghadiri sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Mei ini.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata turut mengesahkan kehadiran ke sidang kemuncak itu ialah Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al-Saud.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan sendiri Putera Faisal menerusi satu panggilan telefon daripada pemimpin itu kepada beliau hari ini.
“Putera Faisal buat panggilan ketika saya sedang transit di Dubai, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menamatkan lawatan rasmi ke Tehran, saya telah beri jemputan dan beliau maklum akan hadir bersama Putera Mahkota,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohamad mengadakan lawatan rasmi pertama ke Iran dari 25 hingga 27 Feb, antara lain bagi mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Iran bersama rakan sejawatannya Seyyed Abbas Araghchi, selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian.
Mengulas lanjut mengenai perbualan telefon itu, Mohamad berkata beliau dan Putera Faisal yang juga Pengerusi Bersama Mesyuarat Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC) turut membincangkan perkembangan hubungan dua hala kedua-dua negara.
“Kami berdua dipertanggungjawabkan untuk pastikan hubungan dua hala terutama soal perdagangan, pelaburan dan lain-lain, termasuk apa-apa yang telah dirunding untuk segera dilaksana SMCC dan diberi laporan secara suku tahunan.
“Jadi dalam perbualan itu kami beri maklum balas, seterusnya kami akan melaporkan perkembangan mengenai perkara berkaitan kepada pemimpin masing-masing,” katanya.
Mohamad hari ini turut membuat panggilan kepada Menteri Luar Bahrain Dr Abdullatif Rashid Al Zayani bagi mengundang pemimpin negara Teluk itu untuk bersama-sama menghadiri ASEAN-GCC.
Ketika lawatan rasmi ke negara Teluk itu pada 19 dan 20 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengundang Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa untuk menghadiri sidang kemuncak sama.
-- BERNAMA