AM

KDN Cadang Insentif Pasukan Khas Dinaikkan, 20 Tahun Kadar Masih Sama

28/02/2025 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Kajian penyelarasan Insentif Pasukan Khas mencadangkan  insentif pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dinaikkan sekali ganda berdasarkan tempoh perkhidmatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan itu dibuat setelah 20 tahun kadar sama dikekalkan serta mengambil kira risiko skop penugasan pasukan khas yang semakin bertambah.

"Pada masa ini, Insentif Pasukan Khas yang dinikmati oleh operatif Unit Tindakhas (UTK) serta unit-unit khas lain dalam PDRM, ATM, dan APMM adalah seperti berikut iaitu RM600 untuk 1-10 tahun perkhidmatan, RM750 untuk 11-15 tahun perkhidmatan, RM900 untuk 16 tahun perkhidmatan dan ke atas.

"Berdasarkan persetujuan bersama antara PDRM, ATM, dan APMM, kadar baharu yang dicadangkan ialah RM1,200 untuk 1-5 tahun perkhidmatan, RM1,500 untuk 6-11 tahun perkhidmatan dan RM2,000 untuk 12  tahun perkhidmatan dan ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas Hari Ulang Tahun ke-50 Unit Tindakhas di sini semalam. 

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Azmi Abu Kassim.

Saifuddin Nasution turut menyentuh aspek penambahbaikan dan keupayaan logistik setiap agensi keselamatan bagi mendepani cabaran semasa, termasuk meneliti semula setiap peralatan dan kemudahan sedia ada bagi menampung keperluan operasi yang semakin mencabar.

“Cadangan kenaikan ini bertujuan mengiktiraf sumbangan serta komitmen operatif pasukan khas dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397582