EKONOMI

Sarawak Perkukuh Kehadiran Di Peringkat Global Menerusi MWC Barcelona 2025

28/02/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) --  Kerajaan negeri Sarawak menerusi Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) mengukuhkan kehadirannya di peringkat global menerusi penyertaan dalam acara teknologi dan kesalinghubungan terkemuka dunia, Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Barcelona 2025 yang berlangsung pada 3-6 Mac, 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, SMA berkata delegasi negeri akan mempamerkan kemajuan Sarawak dalam ekonomi digital, peluang pelaburan, tenaga boleh baharu, penyelesaian bandar pintar dan teknologi baharu di Pavilion Sarawak.

“Pavilion Sarawak akan menampilkan agensi utama kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan dan rakan kongsi sektor swasta, mencerminkan komitmennya kepada transformasi digital dan memupuk inovasi selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030,” katanya.

Aktiviti termasuk sesi pemadanan perniagaan dan penglibatan rangkaian strategik, menawarkan peluang kerjasama dengan pemimpin industri global dan menjamin perkongsian berimpak tinggi.

“Dengan menyertai acara terkemuka global seperti MWC Bercelona, Sarawak mengukuhkan kedudukannya sebagai hab digital yang progresif, selain membuka peluang kerjasama dan pelaburan.

“Ia menandakan pencapaian strategik dalam meletakkan Sarawak sebagai hab terkemuka bagi inovasi digital, transformasi ekonomi dan pertumbuhan yang dipacu teknologi,” katanya.

Menurut SMA, ketika Sarawak terus melaksanakan agenda digitalnya, kerajaan negeri kekal membina ekosistem yang dipacu teknologi bagi memperkasa perniagaan, meningkatkan perkhidmatan awam dan memacu pembangunan ekonomi yang mampan.

Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri itu sedang mengukuhkan ekonomi digitalnya bagi memacu pertumbuhan mampan, menarik pelaburan bernilai tinggi dan meningkatkan daya saing global.

“Pavilion Sarawak di MWC Barcelona mencerminkan komitmen kami untuk memupuk inovasi, mengukuhkan kerjasama strategik dan meletakkan Sarawak sebagai hab teknologi dan digital terkemuka di rantau ini.

“Kami mengalu-alukan pelabur, pemimpin teknologi dan perusahaan global untuk meneroka peluang yang luas yang ditawarkan oleh Sarawak ketika kami membina masa depan yang dipacu oleh teknologi dan kemampanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397824