Oleh Danni Haizal Danial Donald
KOTA TINGGI, 28 Feb (Bernama) -- Indonesia menggesa negara-negara anggota ASEAN untuk menumpukan aspek pelaburan dalam sektor utama, khususnya ekonomi digital yang penting di bawah Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Timbalan Menteri Perdagangannya Dyah Roro Esti Widya Putri berkata Indonesia sememangnya berharap agar lebih banyak pelaburan dalam sektor digital disifatkan sebagai penting dan sejajar dengan DEFA yang khusus menumpukan rangka kerja bidang berkenaan di rantau ini.
“(Ini penting) kerana kita juga mahu memastikan daya tahan rantaian bekalan selain ASEAN dapat menggalakkan amalan perdagangan yang mampan," katanya kepada Bernama sempena sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru hari ini.
Dyah Roro berkata perdagangan mampan itu turut berkait rapat dengan komitmen Indonesia untuk mewujudkan masa depan lebih lestari dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh amalan mampan.
“Kita mahu memastikan keutamaan sedemikian diketengahkan seiring potensi ASEAN menjadi sebuah ekonomi amat besar dan Indonesia pula menyasarkan untuk muncul sebagai ekonomi kelima terbesar dunia,” katanya.
Bercakap pada sidang media, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia selaku pengerusi ASEAN bagi 2025, yakin perkumpulan itu dapat memuktamadkan DEFA tepat pada masanya untuk Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN pada akhir tahun ini berikutan perbincangan mengenainya mencatat kemajuan positif dalam permukiman ini.
Dalam pada itu, mengulas sesi Permukiman AEM Ke-31, Dyah Roro berkata kalangan negara anggota ASEAN turut mencadangkan supaya jangka masa memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA) dapat dipanjangkan dari tempoh asal yang sepatutnya menjelang 2025.
“Ini kerana kita hanya mencapai 18 peratus daripada kemajuan ACAFTA yang disebabkan oleh pelbagai faktor.
“Atas alasan itu, salah satu cadangan yang dikemukakan oleh pengerusi adalah untuk melanjutkan jangka masa itu,” katanya.
Dyah Roro berkata Indonesia yang berperanan sebagai negara peneraju bagi ACAFTA, juga terbuka dalam mengemudi cabaran itu selain memastikan dapat menetapkan sasaran yang boleh dilaksanakan bagi memuktamadkan perjanjian berkenaan.
Sesi Permukiman AEM Ke-31 yang dipengerusikan oleh Tengku Zafrul, diadakan di Desaru hari ini bersempena peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025.
-- BERNAMA