AM

Dividen KWSP: Cerminkan Keyakinan Pelabur Terhadap Dasar Kerajaan MADANI - PM Anwar

01/03/2025 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pencapaian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur, disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI sekali gus memberi manfaat kepada rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah sebanyak RM73.24 bilion.

Kadar dividen tersebut adalah yang tertinggi untuk tempoh sejak 2017.

“Alhamdulillah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.

“Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan Simpanan Konvensional,” kata beliau menerusi hantaran di platform media sosial “X”, pada Sabtu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata prestasi memberangsangkan KWSP itu dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran.

“Dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398010