PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Tiada peruntukan undang-undang yang jelas bagi mendakwa aktiviti mencampur beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT) yang telah wujud lebih 50 tahun di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) terhadap sampel beras import baru-baru ini mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel BPI yang dirampas telah dicampur BPT.
"Mengambil kira pandangan pesawah, pengguna dan industri, kerajaan MADANI mengambil tanggungjawab untuk mengawal amalan tersebut dengan memperhalusi arahan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) untuk memperhalusi kaedah serta mekanisme terbaik bagi mengawal aktiviti percampuran BPI dan BPT," menurut kenyataan itu.
Menurut KPKM kawalan itu perlu dilakukan menerusi perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Untuk makluman, mekanisme bagi mengawal percampuran turut mendapat sokongan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebagai usaha penyelesaian jangka panjang,” menurut KPKM.
Menurut kementerian itu, Pasukan Petugas Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (Op BPT) mendapati punca kekurangan bekalan BPT adalah disebabkan oleh masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT serta tiada peruntukan khusus mengenai larangan percampuran beras dalam Akta 522.
"Hasil kajian umum oleh MyCC yang dibentangkan dalam Mesyuarat JKKMN pada 17 Dis 2024 mendapati pencampuran BPT dan BPI bukanlah amalan baharu, sebaliknya telah berlaku sejak 1970 dan tiada sebarang usaha dijalankan untuk mengawal aktiviti itu," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, bagi mencari penyelesaian bersifat ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna, KPKM memaklumkan kerajaan MADANI telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi serta beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024.
Antara langkah awal adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta 522, menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dan memperkasakan peranan MARDI dalam mengenal pasti varieti beras menerusi teknologi DNA.
“KPKM berharap semua langkah yang diambil ini akan mendapat sokongan semua pihak bagi memastikan industri padi dan beras negara kekal mampan serta bekalan beras yang stabil dan berpatutan untuk rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA