AM

Bacaan Kali Kedua RUU Perkhidmatan Parlimen Esok - PM Anwar

03/03/2025 11:00 AM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dengan pembentangan RUU itu dan selepas diluluskan kelak, ia memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara dengan membuka ruang kepada Parlimen untuk lebih bebas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

“Ia juga beri ketetapan (petanda) tentang kematangan proses demokrasi dalam negara. Parlimen mercu tanda kebebasan bersuara Ahli Parlimen, tetapi tidak boleh terlalu terikat dengan proses perkhidmatan awam secara menyeluruh.

“Itu disebut RUU yang akan dibentangkan esok, yang tentunya perlukan dukungan dua pertiga Ahli Parlimen,” katanya ketika berucap pada pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam, dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Feb lepas.

Selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 dimansuhkan pada 1992, RUU itu membuka lembaran baharu bagi memperkukuh institusi Parlimen, sekali gus membuktikan agenda kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi institusi dengan pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Sejak akta itu dimansuhkan, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan terdapat menteri yang mengawasi atau menyelia pergerakan serta pentadbiran Parlimen.

Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kefahaman penjawat awam mengenai RUU berkenaan perlu dipertingkatkan dan dijelaskan supaya mereka menyedari bahawa kematangan sistem demokrasi negara semakin berkembang.

“Saya harap dalam mesyuarat pasca-Kabinet, mesyuarat jabatan, hal ini disinggung supaya dia (penjawat awam) mengerti, kalau tidak, dia ada disconnect dengan apa yang dilakukan di atas (pengurusan atasan), (tetapi) tidak sampai ke akar umbi.

“Saya harap ia dapat dilakukan oleh semua jabatan, dan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar), serta KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz) bantu pantau untuk tingkatkan kefahaman itu,” katanya.

Anwar berkata penggubalan RUU Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam yang masih di peringkat penyediaan draf bertujuan memperbaiki sistem penilaian dan mempertingkatkan prestasi perkhidmatan awam negara.

Shamsul Azri pada 16 Feb dilaporkan berkata draf RUU berkenaan kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Anwar berkata kerajaan MADANI bertekad melaksanakan reformasi perkhidmatan awam menjunjung prinsip tatakelola yang baik bagi memacu produktiviti.

Anwar berkata RUU Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam akan digubal, meliputi tiga anjakan besar iaitu mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Perhimpunan hari ini itu turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398260