PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Orang ramai diingatkan agar tidak mengklik pautan yang terkandung dalam mesej pautan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang menyamar sebagai pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata JPJ tidak pernah menghantar sebarang pautan berkaitan urusan lesen memandu melalui SMS kepada orang awam.
“JPJ telah menerima aduan daripada orang awam berhubung SMS yang mengandungi pautan berkaitan lesen memandu.
“SMS yang dihantar menggunakan nama MyJPJ itu dikenal pasti mengandungi pautan ‘phishing’ atau ‘memancing data’ untuk tujuan memperdaya orang awam,” katanya
Aedy Fadly berkata sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan JPJ yang tidak sah bagi mengelak sebarang penipuan dan kerugian.
Beliau berkata orang ramai juga perlu merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut.
“Jabatan ini berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan orang awam terutamanya pelanggan JPJ, sentiasa terpelihara. Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan menerusi portal aduan rasmi JPJ di https://jpj.spab.gov.my/,” katanya.
-- BERNAMA