JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Bongkar Sindiket Jadikan Inap Desa Tempat Simpan Dadah

04/03/2025 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Taktik licik sindiket memproses kartrij vape mengandungi dadah menjadikan inap desa sebagai stor penyimpanan, terbongkar menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang pada 26 Feb lepas, melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM11.53 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pada serbuan bermula 4 petang hingga 10.20 malam di Jalan Gombak, Taman Kuchai Lama, Taman Sungai Besi dan Taman Salak Selatan itu, polis turut menahan empat suspek termasuk seorang wanita berumur antara 26 hingga 42 tahun.

"Dadah dirampas terdiri daripada pil ekstasi seberat 62.64 kilogram (kg) bernilai RM10.46 juta, syabu 20.78 kg (RM664,000), ketamin 5.23 kg (RM261,050), pil Eramin 5 sebanyak 1.15 kg (RM114,500) dan 214 unit kartrij vape bernilai RM30,000.

“Turut dirampas pelbagai bahan kimia, peralatan dan kartrij vape mengandungi cecair disyaki dadah selain wang tunai, barang kemas dan kereta Toyota Yaris dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM88,700,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Rusdi berkata siasatan awal mempercayai sindiket itu aktif sejak awal Januari tahun ini, dengan menjadikan inap desa sebagai stor sebelum diserahkan kepada pelanggan selain turut menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses perisa vape mengandungi dadah.

“Mereka menyasarkan pelanggan di sekitar Lembah Klang dengan jumlah dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan sebanyak 116,000 penagih,” katanya.

Beliau berkata dua daripada suspek direman selama tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan 39 Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 manakala dua lagi telah dituduh mengikut Seksyen 39A(1) ABD 1952.

“Polis berharap warga kota terus menyalurkan maklumat supaya kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota dapat diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur bandar raya selamat,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398937