AM

Kadar Zakat Fitrah Di Kedah RM7 Dan RM14

04/03/2025 08:51 PM

ALOR SETAR, 4 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui perkenan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menetapkan dua kadar zakat fitrah bagi tahun ini.

Pengerusi LZNK Datuk Seri Norizan Khazali berkata kadar zakat fitrah yang ditetapkan adalah sebanyak RM7 dan RM14.

Beliau berkata penetapan kadar zakat fitrah adalah berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

"Semua umat Islam digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi kebiasaan makanan setiap hari.

"Jika beras dimakan setiap hari ialah beras tempatan dan individu berkenaan mampu membayar lebih, iaitu pada kadar RM14 atau lebih, maka digalakkan membayar fitrah pada kadar yang lebih baik," katanya kepada pemberita di Menara Zakat LZNK di sini hari  ini.

Norizan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berkata sasaran kutipan zakat fitrah untuk 2025 adalah sebanyak RM14.5 juta berbanding kutipan 2024 sejumlah RM13.31 juta.

Beliau berkata LZNK menggalakkan pembayaran zakat secara dalam talian selain bayaran dibuat menerusi 2,753 amil dan 172 agensi yang dilantik di seluruh negeri.

Katanya, bayaran boleh dibuat melalui laman web JomZakat (jom.zakatkedah.com.my), portal pembayaran zakat fitrah (zakatfitrah.com.my) atau Zakat On Touch selain di kaunter bank dan amil yang dilantik di kariah masing-masing.

“Pada tahun ini juga amil yang dilantik akan menggunakan kaedah digital sama ada menggunakan sistem MyAmil, memaparkan kod QR untuk diimbas pembayar zakat atau berkongsi pautan pembayaran yang disediakan.

"Pembayar pula akan menerima resit melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel. Bagi pembayar yang menghadapi masalah menggunakan kaedah digital tidak perlu bimbang kerana amil yang dilantik akan dibekalkan buku resit zakat fitrah, namun pada kuantiti yang terhad,” katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398942