Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa ketika pelabur beralih kepada aset lebih selamat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengesahkan tarif ke atas Kanada, Mexico dan China.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran emas hari ini mengalami permintaan yang tinggi, didorong oleh ancaman kenaikan tarif tiga kali ganda, peningkatan risiko geopolitik di Ukraine dan kemungkinan kenaikan pemotongan kadar Rizab Persekutuan AS.
“Pelbagai tarif menjadikan ketidaktentuan global semakin bertambah, menyebabkan pelabur beralih ke aset lebih selamat
“Sementara, ketegangan yang meningkat di Ukraine menambah risiko geopolitik, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap emas.
“Dan jangan lupa tekanan yang dihadapi oleh dolar AS. Dengan data ekonomi yang menunjukkan tanda amaran, kadar potongan yang meningkat, tekanan ke atas dolar AS dan ia menjadikan emas lebih menarik,” katanya kepada Bernama.
Kontrak semerta bulan Mac 2025 meningkat kepada US$2,928.30 setiap auns troy daripada US$2,878.20 pada Isnin, manakala April 2025 melonjak kepada US$2,939.10 daripada US$2,887.40.
Sementara Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 menokok kepada US$2,939.10 setiap auns troy daripada US$2,887.40 semalam.
Jumlah dagangan melonjak kepada 62 lot daripada 12 lot, manakala kepentingan terbuka menambah kepada 98 kontrak daripada 53 kontrak sebelumnya.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 3 Mac, harga emas fizikal berada pada US$2,880.70 setiap auns troy.
-- BERNAMA