AM

Pembangkang Gagal Undi Tunjuk Sikap Enggan Bantu Martabat Parlimen

04/03/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kegagalan pembangkang untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini menonjolkan sikap mereka yang tidak mahu menyokong usaha untuk memperkukuh dan memartabatkan institusi Parlimen.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meluahkan rasa kesal terhadap tindakan 57 wakil rakyat pembangkang yang tidak mengundi semasa proses undian bagi meluluskan RUU tersebut.

"Seharusnya, kita melihat soal keberadaan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen ini sebagai langkah pertama untuk mengangkat martabat Parlimen itu sendiri. Usaha ini seharusnya disambut oleh pihak pembangkang," katanya.

"Namun, kita lihat mereka gagal. Bukan hanya apabila kita mendengar perbahasan mereka yang jauh menyimpang daripada apa yang dibentangkan, malah mereka sendiri menunjukkan sikap tidak mahu membantu dalam proses memastikan Parlimen itu bebas," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan untuk mereformasi institusi serta penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.

RUU tersebut mendapat sokongan 148 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan ketiga semasa undi belah bahagian dilakukan, manakala 17 Ahli Parlimen tidak hadir dan 57 wakil rakyat tidak mengundi.

Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI mengucapkan penghargaan kepada 148 Ahli Dewan Rakyat yang telah memberi sokongan untuk meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025.

Beliau menyifatkan RUU yang berjaya diluluskan itu sebagai satu detik bersejarah kerana Kerajaan MADANI berjaya mengembalikan proses untuk mendemokrasikan institusi Parlimen.

"Saya bagi pihak kerajaan ingin menyatakan penghargaan kepada 148 Ahli Dewan Rakyat yang telah mengundi untuk meminda Perlembagaan, yang membolehkan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk menyertai Majlis Perkhidmatan Parlimen yang akan diwujudkan, insya-Allah."

"Maka secara substantifnya, kita telah berjaya membawa satu RUU yang lebih bermakna untuk warga Parlimen di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398963