KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti suspek utama kegiatan penipuan pelaburan mata wang Forex oleh sebuah syarikat yang setakat ini membabitkan nilai kerugian lebih RM24 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya sedang melengkapkan siasatan termasuk bagi mengesan suspek utama kes berkenaan.
Beliau berkata lima individu lingkungan 30-an disyaki menjadi keldai akaun skim pelaburan itu telah ditahan tahun lepas dan awal tahun ini, sekali gus menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak menjalankan siasatan ke atas kes itu.
“Sebanyak 80 laporan diterima membabitkan kerugian RM24.81 juta berkaitan penipuan pelaburan berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan setakat ini mendedahkan skim pelaburan itu dimulakan sekitar 2019 dan menjanjikan keuntungan tujuh peratus sebulan dengan pelabur berminat dikehendaki memuat turun aplikasi pelaburan ditetapkan.
"Masalah mula timbul apabila syarikat itu menukar pelaburan mereka kepada pelaburan kripto tanpa persetujuan pelabur dan pelabur juga hanya dapat melihat paparan keuntungan daripada aplikasi tanpa boleh mengeluarkan wang berkenaan,” katanya.
Dalam kes berasingan, Ramli berkata polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan kerana disyaki menipu seorang ahli perniagaan dalam urusan jual beli kereta Lamborghini Aventador, lima tahun lepas.
Beliau berkata suspek dikatakan menawarkan kepada lelaki berusia 34 tahun itu untuk membeli kereta berkenaan pada harga RM2.4 juta pada Jun 2020 dan seterusnya beberapa kali berjumpa suspek untuk memandu uji kereta berkenaan di Puchong, Selangor.
“Pengadu turut ditunjukkan borang import kastam bagi membuktikan kereta ingin dibelinya telah diimport masuk ke Malaysia dan bermula 15 Jun 2020, pengadu telah membuat 18 kali bayaran ke akaun sebuah syarikat diarahkan suspek dengan jumlah keseluruhan RM2.4 juta.
“Pada Jan 2022, ahli perniagaan itu telah menerima beberapa gambar dokumen notis sitaan kereta berkenaan dan suspek berjanji menyelesaikan masalah tersebut, menguruskan pendaftaran serta pindah milik kereta itu, namun sehingga kini pengadu tidak menerima kereta dijanjikan dan suspek menghilangkan diri,” katanya.
Beliau berkata alamat terakhir suspek ialah di Pangsapuri Sri Indah, Jalan Sg Besi Indah 2, Taman Sungai Besi, Seri Kembangan, Selangor dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek diminta menghubungi Insp Ruzanna Khairion di talian 010-4425916.
-- BERNAMA