AM

'Pemain Squid Game' Jual Air Tembikai Di Bazar Ramadan Meru Raya

06/03/2025 12:45 PM

IPOH, 6 Mac (Bernama) -- Seorang peniaga Bazar Ramadan Meru Raya di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini, tampil kreatif untuk menarik pelanggan singgah di gerai miliknya yang menjual air balang jus tembikai pelbagai perisa.  

Nur Nadira Muhammad Nazir, 21, yang meminati drama siri popular Korea Selatan, memakai kostum siri ikonik Squid Game di gerai King of Tembikai yang menampilkan air tembikai dalam lima perisa iaitu tembikai original, tembikai sarbath, tembikai extra joss, tembikai kelapa dan tembikai mojito.

Gadis kelahiran Ipoh itu berniaga di tapak bazar berkenaan sejak Ahad lepas dan air tembikai itu dijual pada harga antara RM5 hingga RM8.

“Saya memilih untuk memakai kostum dan topeng Squid Game ini kerana saya sangat meminati siri popular itu, sekali gus mendapat idea ini dengan tujuan untuk menarik orang ramai datang membeli di gerai jualan kami.

“Saya memperuntukkan kira-kira RM300 untuk membeli kostum dan anak patung Squid Game yang digantung di hadapan gerai jualan, selain saya turut memainkan lagu Squid Game iaitu Mingle Game Song 'Round and Round' sepanjang berniaga,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Nur Nadira berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan, dan para pengunjung membeli air tembikai yang dihasilkan setiap hari di tapak bazar berkenaan sejak hari pertama berniaga.

Beliau berkata memakai kostum Squid Game agak mencabar kerana keadaan cuaca panas terik sejak kebelakangan ini, namun berasa seronok apabila kehadiran pengunjung tidak putus-putus.

“Walaupun panas juga pakai kostum dan topeng seperti ini, saya dan para pekerja tetap bersemangat semata-mata mahu menarik kehadiran pelanggan. Ada ketika topeng dibuka kerana cuaca panas dan memudahkan kami untuk membuat kerja.

Nur Nadira berkata ini adalah kali pertama beliau berniaga di bazar Ramadan berkenaan, sambil dibantu tiga orang pekerja dan memulakan operasi perniagaan pukul 3 petang sehingga jualan habis.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399453