JENAYAH & MAHKAMAH

Ejen Haram Warga Asing Tumpas, Enam Individu Ditahan Termasuk Majikan - Imigresen

06/03/2025 05:43 PM

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan ejen haram warga asing dengan menahan enam individu dalam satu operasi khas di tiga lokasi iaitu Taman Kemuning Utama di Shah Alam, Taman Pandan Cahaya dan Jalan Datuk Eusoff di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata enam warga asing terdiri lima warga  Bangladesh dan seorang warga Pakistan berumur di antara 30 hingga 50 tahun, ditahan dalam operasi semalam.

Beliau berkata bertindak atas maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi premis dan memeriksa 17 individu yang berada di premis berkenaan.

“Seorang daripada warga Bangladesh yang ditahan ini dipercayai majikan kepada kesemua warga asing berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata hasil semakan awal mendapati seorang lelaki warga Bangladesh memiliki pas yang masih sah laku, seorang lelaki warga Bangladesh telah tinggal lebih masa dan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan telah melanggar syarat pas.

Manakala dua lagi lelaki warga Bangladesh tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Zakaria berkata pasukan operasi turut merampas sebanyak 394 pasport Bangladesh, enam pasport Indonesia, dua pasport India, sembilan pasport Pakistan, satu pasport Filipina, tiga unit telefon bimbit, cop syarikat dan wang tunai berjumlah RM12,550.

Turut disita, sebuah kenderaan jenis Honda Insight Hybrid untuk tujuan siasatan.

Beliau berkata syarikat berkenaan dipercayai telah beroperasi selama setahun.

“Modus operandi syarikat ialah membekalkan pekerja asing yang telah diluluskan kuota pekerja asing melalui visa panggilan dan program rekalibrasi yang dijalankan sebelum ini. 

“Syarikat ini akan membekalkan pekerja asing kepada majikan yang telah disenarai hitam daripada memohon kuota pekerja asing dengan bayaran sebanyak RM8,000 setiap seorang,” katanya.

Zakaria berkata syarikat berkenaan juga menjalankan perkhidmatan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM6,000 setahun, bagi setiap pekerja asing. 

Kesemua warganegara asing yang ditahan dalam operasi itu dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399667