AM

Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang KWSP (Pindaan) 2025

06/03/2025 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) 2025 bertujuan meningkatkan perlindungan sosial yang setara antara pekerja rakyat Malaysia dan bukan warganegara.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas lapan Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

Ia melibatkan pindaan kepada 11 fasal bagi mengadakan peruntukan berhubung dengan tanggungan untuk membayar caruman dan kadar caruman yang kena dibayar ke atas pekerja bukan warganegara Malaysia.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata cadangan mewajibkan pekerja bukan warganegara untuk mencarum adalah bertujuan memberi manfaat kepada rakyat dan negara kerana ia akan meningkatkan struktur gaji kebangsaan.

“Dengan peningkatan gaji ini, isi rumah akan mempunyai kebolehupayaan yang lebih tinggi untuk berbelanja seterusnya membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, polisi mewajibkan perlindungan sosial kepada pekerja bukan warganegara selari dengan amalan baik antarabangsa,” katanya.

Amir Hamzah berkata ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja bukan warganegara dalam jangka masa panjang, sekali gus meningkatkan daya saing perniagaan tempatan yang mendorong kepada peralihan perniagaan ke arah automasi. 

Beliau berkata kertas Low-Skilled Foreign Workers' Distortion to the Economy (2018) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati kadar kebergantungan industri kepada pekerja bukan warganegara mempunyai hubung kait yang tinggi dengan tahap produktiviti industri tersebut.

“Sekiranya tiada caruman KWSP untuk pekerja bukan warganegara, ini menyebabkan kadar menggajikan pekerja bukan warganegara lebih murah berbanding pekerja tempatan... sebab itu, penting ikhtiar ini bagi mengelakkan ketidakseimbangan dalam menggalakkan penggajian rakyat tempatan.

“Selain itu, ini juga dapat membantu kerajaan dalam mengurangkan pekerja bukan warganegara tanpa dokumen kerana hanya pekerja yang sah berdaftar dengan majikan layak mencarum ke dalam KWSP,” katanya.

Amir Hamzah berkata bagi pekerja bukan warganegara pula, caruman wajib adalah insentif yang boleh dikeluarkan apabila mereka kembali ke negara asal setelah tamat tempoh permit kerja dengan bukti penamatan kerja.

Beliau berkata buat masa ini, pekerja bukan warganegara diberi pilihan untuk menyertai skim KWSP melalui konsep once in-always in, dengan kadar caruman ditetapkan sebanyak 11 peratus daripada kadar upah bulanan bagi syer pekerja dan hanya RM5 bagi syer majikan.

“Setakat Dis 2024, hanya 22,635 atau 0.9 peratus daripada 2.5 juta pekerja bukan warganegara yang memilih untuk mencarum secara aktif ke dalam KWSP. 

“Perbezaan kadar caruman syer majikan turut menyumbang kepada situasi kos upah pekerja bukan warganegara menjadi lebih rendah berbanding pekerja tempatan,” katanya.

Amir Hamzah berkata cadangan mewajibkan pekerja bukan warganegara untuk mencarum skim KWSP dijangka dilaksanakan pada suku keempat 2025.

Kerajaan akan mengekalkan cadangan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing, masing-masing dua peratus buat pekerja dan majikan.

Kerajaan pada 3 Feb lepas mengumumkan kadar caruman mandatori KWSP untuk pekerja asing, masing-masing dua peratus buat pekerja dan majikan, lebih rendah berbanding kadar caruman mandatori yang ditetapkan untuk pekerja warganegara Malaysia dan pemastautin tetap iaitu 11 peratus bagi syer pekerja dan 12 atau 13 peratus bagi syer majikan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399756