KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Permohonan maaf yang dikemukakan tiga penyampai radio Era FM berhubung video dikatakan memperlekehkan ritual kavadi sempena Thaipusam, telah diterima oleh Malaysia Hindu Sangam (MHS).
Presiden MHS T.Ganesan berkata adalah penting bagi personaliti media dan pencipta kandungan untuk lebih peka dan sensitif dalam membincangkan isu keagamaan dan budaya, serta menegaskan keperluan komunikasi yang bertanggungjawab dan menghormati dalam lingkungan awam.
“… kejadian seperti ini tidak boleh diambil mudah kerana ia mengancam keharmonian dan rasa saling menghormati yang menjadi asas kepada masyarakat majmuk di Malaysia.
“Insiden ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia mengenai kepentingan untuk menghormati semua agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ganesan berkata permohonan maaf sahaja tidak melepaskan individu daripada akibat kelakuan mereka dan dalam apa jua keadaan yang menyebabkan kemudaratan berlaku, mereka perlu bertanggungjawab.
Ganesan berkata video tersebut amat menghina komuniti Hindu dan telah menerima kecaman meluas serta mencetuskan pelbagai laporan polis.
“Walaupun penyampai itu telah memohon maaf, MHS mengambil maklum bahawa siasatan masih berjalan dengan pihak berkuasa mengendalikan kes ini di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan. MHS menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang,” katanya.
Tiga penyampai radio tersebut telah tampil untuk memohon maaf atas perbuatan mereka yang dianggap menyinggung sensitiviti kaum di negara ini. Mereka juga memohon maaf secara langsung di kompleks kuil Batu Caves berhubung video tersebut.
Pada 4 Mac, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap video tular yang melibatkan tiga penyampai radio Era FM itu, yang dilihat memperlekehkan satu upacara keagamaan.
Semalam MCMC telah mengeluarkan notis hasrat untuk menggantung lesen pengendali Era FM, yang diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Astro Audio juga telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka serta menggantung tiga penyampai radio berkenaan bersama dua petugas lain.
-- BERNAMA