AM

Pusat Mediasi Komuniti KPN Selesai 215 Konflik Komuniti Tanpa Proses Perundangan

08/03/2025 02:26 PM

KERTEH, 8 Mac (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Pusat Mediasi Komuniti telah menyelesaikan 215 konflik di peringkat komuniti tahun lepas, sekali gus mengelak penyelesaian kes secara perundangan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata semua kes tersebut dikendalikan Mediator Komuniti secara proaktif di bawah penyeliaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). 

"Skop perkhidmatan mediasi yang dikendalikan oleh Mediator Komuniti berkaitan isu-isu yang berlaku dalam kawasan kejiranan setempat seperti gangguan bunyi bising, pergaduhan antara jiran, isu kekeluargaan, isu alam sekitar dan pelbagai.

"Kementerian berhasrat untuk memastikan perkhidmatan mediasi secara percuma yang disediakan kepada rakyat ini dapat dimanfaat dan diakses dengan lebih mudah melalui penubuhan dan perluasan Pusat Mediasi Komuniti," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Sivik Kerteh, di sini hari ini. 

Aaron berkata sehingga kini terdapat lapan buah pusat berkenaan di seluruh negara dan pihaknya bercadang untuk menambah lima lagi Pusat Mediasi Komuniti dalam negara.

Lima lokasi baharu ialah di Pusat Aktiviti Perpaduan Kemaman di Terengganu dan Pejabat Perpaduan Daerah Pontian, Johor selain tiga lagi menerusi kerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor; Majlis Daerah Tuaran, Sabah; dan Think City serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Perumahan Rakyat Seri Kota di ibu negara. 

Sementara itu beliau berkata peranan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dalam mendepani isu dalam komuniti termasuk soal keselamatan dan perpaduan juga amat penting. 

"Saya melihat kalau ada KRT ini, jarang ada masalah yang besar-besar. Mungkin ada (masalah besar) tetapi sedikit dan dapat ditangani dengan adanya ahli yang jalankan tugas untuk meredakan masalah," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400291